hamden09/09/2026 - 09:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - KPJ Healthcare Bhd kekal kukuh dengan pelan strategik 2026-2030 syarikat terus berada pada landasan, meskipun berlaku perubahan kepimpinan selepas bekas Presiden dan Pengarah Urusan, Chin Keat Chyuan, meninggalkan jawatan pada 1 September lalu, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan KPJ menegaskan bahawa peralihan kepimpinan tidak akan mengubah hala tuju strategik kumpulan, dengan pelan 2026-2030 telah diluluskan lembaga pengarah serta dimiliki secara institusi, bukannya bergantung kepada mana-mana individu.
Pegawai yang dipertanggungjawabkan (OIC), Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid, turut mengesahkan semula komponen utama pelan berkenaan, termasuk peruntukan perbelanjaan modal (capex) antara RM4 bilion hingga RM5 bilion, penubuhan 15 pusat kecemerlangan (COE) menjelang 2030 serta strategi pengembangan berasaskan aset brownfield.
Menurut RHB Research lagi, asas fundamental KPJ juga kekal tidak berubah dengan pemacu pertumbuhan jangka pendek terus disokong oleh pengoptimuman kadar penggunaan katil (BOR) bagi kira-kira 4,000 katil, tambahan sehingga 650 katil dalam bangunan sedia ada serta pelaksanaan COE.
"Pada masa sama, pegangan 45.2% Johor Corporation terus menjadi asas kepada kesinambungan strategik kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan.
Unjuran Pendapatan Tidak Berubah
RHB Research turut berpandangan tiada faktor baharu yang pada ketika ini memerlukan perubahan terhadap anggaran pendapatan KPJ bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Bagaimanapun, sasaran harga saham KPJ diturunkan kepada RM3.51 daripada RM4.01, susulan semakan terhadap andaian model aliran tunai terdiskaun (DCF) dan peruntukan capex jangka panjang.
Sasaran harga baharu itu masih memberikan potensi kenaikan kira-kira 35%, manakala penarafan 'BELI' dikekalkan.
"Pihak pengurusan menerima perubahan kepimpinan itu sebagai tidak menjejaskan hala tuju strategik dan kami menerima jaminan tersebut seadanya.
"Namun, ketiadaan pengganti yang dinamakan serta garis masa pelantikan masih menjadi persoalan yang belum terjawab. Dalam penilaian kami, kekosongan jawatan itu, bukannya pemergian tersebut, merupakan faktor yang kini diambil kira dalam penilaian saham," katanya.
Saham KPJ Healthcare susut 4% selepas sesi taklimat susulan pemergian Chin, menjadikan penurunan saham kepada kira-kira 16% sejak pengumuman pada 21 Ogos lalu.
Keunikan MediAsas sokong prestasi saham KPJ
Bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa saham KPJ kini didagangkan pada paras yang menarik dan disokong oleh keunikan model MediAsas.
KPJ sebelum ini diniagakan pada premium satu digit tinggi berbanding IHH Healthcare menjelang musim keputusan kewangan, namun premium tersebut kini menyusut kepada kurang daripada 1%.
"Kami mengekalkan BUY dan menyarankan pelabur mengumpul saham secara berperingkat serta bersabar, dengan sebarang kejelasan lanjut mengenai pelantikan ketua baharu dilihat sebagai pemangkin kepada penilaian semula saham dalam tempoh terdekat," katanya.
Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk kunjungan pesakit lebih rendah daripada jangkaan, pertumbuhan intensiti hasil yang lebih lemah, peningkatan kos operasi, tempoh interim yang berpanjangan tanpa pengganti, kelewatan pelaksanaan pelan lima tahun, pewartaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG) yang tidak menguntungkan serta kehilangan pakar perubatan. - DagangNews.com






