hamden09/09/2026 - 09:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Sept - KPJ Healthcare Bhd kekal kukuh dengan pelan strategik 2026-2030 syarikat terus berada pada landasan, meskipun berlaku perubahan kepimpinan selepas bekas Presiden dan Pengarah Urusan, Chin Keat Chyuan, meninggalkan jawatan pada 1 September lalu, menurut penganalisis pasaran.
RHB Research berkata, pengurusan KPJ menegaskan bahawa peralihan kepimpinan tidak akan mengubah hala tuju strategik kumpulan, dengan pelan 2026-2030 telah diluluskan lembaga pengarah serta dimiliki secara institusi, bukannya bergantung kepada mana-mana individu.
Pegawai yang dipertanggungjawabkan (OIC), Prof Datuk Dr Hanafiah Harunarashid, turut mengesahkan semula komponen utama pelan berkenaan, termasuk peruntukan perbelanjaan modal (capex) antara RM4 bilion hingga RM5 bilion, penubuhan 15 pusat kecemerlangan (COE) menjelang 2030 serta strategi pengembangan berasaskan aset brownfield.
Menurut RHB Research lagi, asas fundamental KPJ juga kekal tidak berubah dengan pemacu pertumbuhan jangka pendek terus disokong oleh pengoptimuman kadar penggunaan katil (BOR) bagi kira-kira 4,000 katil, tambahan sehingga 650 katil dalam bangunan sedia ada serta pelaksanaan COE.
"Pada masa sama, pegangan 45.2% Johor Corporation terus menjadi asas kepada kesinambungan strategik kumpulan," katanya dalam nota penyelidikan.
Unjuran Pendapatan Tidak Berubah
RHB Research turut berpandangan tiada faktor baharu yang pada ketika ini memerlukan perubahan terhadap anggaran pendapatan KPJ bagi tempoh 2026 hingga 2028.
Bagaimanapun, sasaran harga saham KPJ diturunkan kepada RM3.51 daripada RM4.01, susulan semakan terhadap andaian model aliran tunai terdiskaun (DCF) dan peruntukan capex jangka panjang.
Sasaran harga baharu itu masih memberikan potensi kenaikan kira-kira 35%, manakala penarafan 'BELI' dikekalkan.
"Pihak pengurusan menerima perubahan kepimpinan itu sebagai tidak menjejaskan hala tuju strategik dan kami menerima jaminan tersebut seadanya.
"Namun, ketiadaan pengganti yang dinamakan serta garis masa pelantikan masih menjadi persoalan yang belum terjawab. Dalam penilaian kami, kekosongan jawatan itu, bukannya pemergian tersebut, merupakan faktor yang kini diambil kira dalam penilaian saham," katanya.
Saham KPJ Healthcare susut 4% selepas sesi taklimat susulan pemergian Chin, menjadikan penurunan saham kepada kira-kira 16% sejak pengumuman pada 21 Ogos lalu.
Keunikan MediAsas sokong prestasi saham KPJ
Bagaimanapun, RHB Research menegaskan saham KPJ kini didagangkan pada paras yang menarik dan disokong oleh keunikan model MediAsas.
KPJ sebelum ini diniagakan pada premium satu digit tinggi berbanding IHH Healthcare menjelang musim keputusan kewangan, namun premium tersebut kini menyusut kepada kurang daripada 1%.
"Kami mengekalkan BELI dan menyarankan pelabur mengumpul saham secara berperingkat serta bersabar, dengan sebarang kejelasan lanjut mengenai pelantikan ketua baharu dilihat sebagai pemangkin kepada penilaian semula saham dalam tempoh terdekat," katanya.
TA Research pula percaya KPJ berada pada kedudukan baik untuk menjadi antara penerima manfaat utama MediAsas, mengambil kira kehadirannya yang meluas di bandar-bandar Tier 2 dan Tier 3.
Produk insurans itu menyasarkan segmen B40 berpendapatan lebih tinggi serta M40 berpendapatan rendah hingga sederhana, yang sebahagian besarnya kini bergantung kepada hospital awam atau menanggung perbelanjaan penjagaan kesihatan secara sendiri.
"Kami difahamkan empat hospital KPJ telah dipilih untuk menyertai program perintis MediAsas, iaitu KPJ Rawang, KPJ Tawakkal, KPJ Kajang dan KPJ Sentosa.
"Kami melihat fasa perintis itu secara positif kerana ia memberi peluang kepada kerajaan untuk menilai serta memperkemas sistem berkenaan sebelum dilaksanakan secara lebih meluas.

Pelancongan kesihatan pacu peningkatan hasil
TA Research berkata peningkatan bilangan pusat kecemerlangan (COE) dijangka menarik lebih ramai pesakit antarabangsa serta memacu peningkatan hasil bagi setiap pesakit dalam.
Pelancong perubatan lazimnya tertarik kepada pusat yang mempunyai keupayaan dan akreditasi bertaraf antarabangsa kerana mereka mendapatkan rawatan khusus dan bukannya penjagaan kesihatan umum.
Justeru, COE menjadi saluran utama untuk KPJ mendapatkan pelanggan bagi perniagaan pelancongan kesihatannya. Kerjasama KPJ dengan Mayo Clinic Care Network juga dijangka meningkatkan hasil klinikal serta menambah baik pengalaman pesakit secara keseluruhan.
Pesakit antarabangsa kini menyumbang kira-kira 55% daripada hasil pelancongan kesihatan KPJ, manakala ekspatriat menyumbang baki kira-kira 45%. Pada masa hadapan, pihak pengurusan menyasarkan untuk meningkatkan komposisi pesakit antarabangsa kepada 65%.
"Dalam unjuran kami, hasil pelancongan perubatan KPJ bagi tahun kewangan 2026 dijangka berkembang 18.3% tahun ke tahun, disokong permintaan yang berdaya tahan daripada pesakit Indonesia serta peningkatan permintaan daripada pasaran baharu, khususnya Kemboja, Bangladesh dan rantau Timur Tengah serta Afrika Utara (MENA)," katanya.
TA Research turut mengekalkan penarafan BELI terhadap KPJ dengan sasaran harga RM3.50 sesaham berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOTP) serta tidak membuat apa-apa perubahan terhadap anggaran pendapatan mereka terhadap KPJ bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028. - DagangNews.com






