Critical Holdings sasar kontrak RM30 juta hingga RM50 juta untuk perkukuh buku tempahan - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:26 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Critical Holdings sasar kontrak RM30 juta hingga RM50 juta untuk perkukuh buku tempahan - MBSB Research Image from: Critical Holdings sasar kontrak RM30 juta hingga RM50 juta untuk perkukuh buku tempahan - MBSB Research hamden11/11/2026 - 09:26 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Kekangan tenaga kerja yang menjadi cabaran utama kapasiti pelaksanaan dijangka mendorong Critical Holdings Berhad (Critical) mengambil pendekatan lebih selektif dalam membida projek baharu, meskipun kumpulan itu terus berusaha menambah buku tempahannya menerusi kontrak bernilai RM30 juta hingga RM50 juta, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, julat nilai kontrak berkenaan merupakan skala projek paling sesuai bagi Critical ketika ini, selain kumpulan itu masih berpeluang memburu kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang lebih besar.

 

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan Critical menyeimbangkan usaha mendapatkan projek baharu dengan keperluan memastikan pelaksanaan dua projek EPC berskala besar yang sedang berjalan.

 

"Critical mempunyai buku tender aktif bernilai RM1.0 bilion, dengan kira-kira 90% daripadanya terdiri daripada projek berkaitan semikonduktor, manakala baki 10% melibatkan projek pusat data," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Bagaimanapun, MBSB Research tidak menjangkakan kumpulan berkenaan dapat mengulangi kejayaan memperoleh projek baharu bernilai RM1.17 bilion yang dicatatkan pada FY26 dalam masa terdekat, terutama selepas menerima kontrak EPC besar bernilai RM772.5 juta.

 

Kontrak berkenaan melibatkan pembangunan kemudahan perindustrian canggih yang merangkumi gudang Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) berteknologi tinggi serta infrastruktur sokongan di Taman Teknologi Tinggi Kulim.

 

Keupayaan EPCC dipertingkatkan

Dalam perkembangan terbaharu, Critical memperoleh kontrak EPC ketiganya tahun ini selepas anak syarikat milik penuhnya, Critical Sales & Services Sdn Bhd, menerima kontrak bernilai RM65 juta daripada sebuah syarikat multinasional (MNC).

 

Kontrak itu merangkumi kerja reka bentuk dan pembinaan, pengujian serta pentauliahan lantai pengeluaran bilik bersih (cleanroom) baharu di wilayah utara Malaysia, yang dijangka siap menjelang Mac 2027.

 

Firma penyelidikan itu berpandangan kejayaan memperoleh projek terbaharu berkenaan terus membuktikan keupayaan Critical meningkatkan kedudukannya dalam rantaian bekalan EPCC, sekali gus membolehkannya membida kontrak yang mempunyai nilai lebih tinggi.

 

Secara keseluruhan, baki buku tempahan Critical dianggarkan meningkat kepada RM1.13 bilion, merangkumi projek bilik loji (plantroom) sebanyak 69.4%, bilik bersih 20.5%, pusat data 3.1% dan penyelenggaraan 7%.

 

Sebahagian besar buku pesanan itu disumbangkan oleh kontrak EPC bernilai RM772.5 juta yang diperoleh pada 15 Jun 2026.

 

Bersama kontrak EPC yang diperoleh pada Mei 2026 dan arahan perubahan kerja (VO), jumlah buku pesanan daripada satu pelanggan MNC berpangkalan di Amerika Syarikat mencecah RM999.2 juta, bersamaan 91.7% daripada keseluruhan baki buku pesanan.

 

Saranan BELI dikekalkan

Dalam pada itu, MBSB Research mengekalkan saranan BELI terhadap Critical dengan harga sasaran tidak berubah pada RM3.54.

 

Penilaian itu berdasarkan anggaran pendapatan sesaham (EPS) FY28 sebanyak 17.7 sen pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) 20 kali ganda, iaitu dua sisihan piawai melebihi purata tiga tahunnya.

 

Firma penyelidikan itu turut melihat FY27 sebagai titik perubahan pendapatan kumpulan apabila projek EPCC sedia ada mula meningkatkan sumbangan kepada prestasi kewangannya.

 

Critical dijangka mengumumkan keputusan kewangan suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27) pada 21 November ini, dengan keuntungan FY27 diunjurkan meningkat kira-kira tiga kali ganda berbanding RM21.4 juta pada FY26. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved