YTL Power sasar kapasiti pusat data cecah 258MW menjelang akhir FY27 - MBSB Research

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 9:31 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

YTL Power sasar kapasiti pusat data cecah 258MW menjelang akhir FY27 - MBSB Research Image from: YTL Power sasar kapasiti pusat data cecah 258MW menjelang akhir FY27 - MBSB Research hamden20/11/2026 - 09:31 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 20 Nov - Perniagaan pusat data (DC) YTL Power International Bhd (YTL Power) semakin memperkukuh sumbangannya terhadap pendapatan kumpulan apabila keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu melonjak enam kali ganda kepada RM139.5 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2026 (1QFY27), berbanding RM1 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

MBSB Research berkata, momentum pertumbuhan itu dijangka berterusan apabila YTL Power menyasarkan jumlah kapasiti pusat datanya meningkat kepada 258 megawatt (MW) menjelang akhir tahun kewangan 2027 (FY27), berbanding kapasiti operasi semasa sebanyak 160MW.

 

Malah, kumpulan itu sudah mengikat kontrak bagi kapasiti pusat data sebanyak 298MW, sekali gus mencerminkan perkembangan operasi segmen berkenaan yang semakin muncul sebagai pemacu penting pertumbuhan pendapatan jangka panjangnya.

 

"Perkembangan operasi pusat data secara berperingkat itu mengukuhkan prospek jangka panjang YTL Power, meskipun prestasi keuntungan keseluruhan kumpulan bagi suku pertama FY27 masih berada di bawah jangkaan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Hasil segmen pusat data meningkat enam kali ganda tahun ke tahun kepada RM329.4 juta, manakala PBT melonjak kepada RM139.5 juta berbanding RM1 juta setahun lalu.

 

Bagaimanapun, PBT segmen itu merosot 42.9% berbanding suku sebelumnya berikutan pelarasan kumulatif sekali sahaja berkaitan klausa kenaikan kadar tahunan dalam kontrak yang sudah diiktiraf pada suku terdahulu.

 

MBSB Research menjelaskan penurunan berkenaan bukan disebabkan kemerosotan prestasi operasi pusat data, sebaliknya berpunca daripada faktor pelarasan perakaunan tersebut.

 

Saranan BELI dikekalkan

Dalam perkembangan berkaitan, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan BELI terhadap YTL Power dengan harga sasaran tidak berubah pada RM5.98.

 

Harga sasaran itu mencerminkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) unjuran FY27 sebanyak 23.8 kali, berbanding PER semasa saham kumpulan itu sebanyak 15.9 kali.

 

Menurut firma penyelidikan itu, penurunan harga saham baru-baru ini menyediakan peluang kemasukan yang menarik kepada pelabur.

 

Malah, dalam senario ekstrem dengan mengeluarkan keseluruhan nilai RM1.40 sesaham yang dikaitkan dengan perniagaan pusat data daripada penilaian berdasarkan jumlah bahagian (SOTP), saham YTL Power masih mempunyai nilai RM4.58 sesaham, lebih tinggi berbanding harga penutup sebelumnya.

 

Keuntungan teras susut 6.8%

Sementara itu, YTL Power mencatatkan keuntungan bersih teras RM460.1 juta bagi 1QFY27, merosot 6.8% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi lebih rendah itu disebabkan pendapatan daripada segmen penjanaan kuasa serta perniagaan air dan pembetungan yang menyusut, meskipun sebahagiannya diimbangi sumbangan lebih kukuh daripada perniagaan pusat data.

 

Bagaimanapun, keuntungan teras kumpulan meningkat 41.1% berbanding suku sebelumnya.

 

Keputusan itu berada di bawah jangkaan firma penyelidikan berkenaan, dengan pencapaian sebanyak 18.6% daripada anggaran keuntungan setahun penuhnya dan 19.9% daripada unjuran konsensus pasaran.

 

Hasil kumpulan bagaimanapun melonjak 40.7% tahun ke tahun kepada RM4.54 bilion, meningkat 19.3% berbanding suku sebelumnya, disokong prestasi lebih kukuh merentasi semua segmen perniagaan.

 

Namun, peningkatan hasil itu tidak diterjemahkan kepada pertumbuhan PBT berikutan beberapa faktor, termasuk kos lebih tinggi dan pengukuhan nilai ringgit.

 

Di Power Seraya, PBT merosot 34.4% tahun ke tahun kepada RM326.3 juta. Bagaimanapun, secara suku ke suku, prestasi segmen itu meningkat 26.3%, disokong margin pasaran tenaga yang lebih baik, peruntukan perbelanjaan operasi lebih rendah serta caj susut nilai yang berkurangan.

 

Wessex Water pula mencatatkan PBT RM177.5 juta, merosot 2.3% tahun ke tahun, dengan prestasinya disokong kenaikan tarif terkawal di bawah kerangka AMP8 yang ditetapkan Ofwat.

 

Bagaimanapun, sumbangan itu sebahagiannya diimbangi pengukuhan ringgit berbanding pound Britain (GBP), selain kos pembiayaan dan operasi lebih tinggi.

 

Firma penyelidikan menjangkakan pendapatan Wessex Water terus disokong pelarasan tarif terkawal, dengan asas aset terkawal (RAB) syarikat itu diunjurkan meningkat daripada GBP5.2 bilion kepada GBP7.3 bilion menjelang 2030. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved