liza09/10/2026 - 20:23 Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 9 Okt – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mendapatkan maklumat daripada enam syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Kalimantan, Indonesia susulan laporan yang mengaitkan syarikat Malaysia dengan kejadian kebakaran hutan dan tanah di negara itu.
KPK berkata, menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), kementerian mengadakan sesi libat urus dengan enam syarikat berkenaan pada 10 September 2026 bagi mendapatkan maklumat mengenai situasi kebakaran serta langkah pencegahan dan pengawalan yang dilaksanakan di kawasan operasi masing-masing.
“Maklum balas berkala turut diperoleh bagi memantau perkembangan semasa isu berkenaan, termasuk kebimbangan terhadap kesannya kepada kesihatan awam dan alam sekitar.
“Berhubung laporan yang mengaitkan PT Menteng Jaya Sawit Perdana (PT MJSP), anak syarikat Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) pula, kementerian mengambil maklum penjelasan rasmi syarikat itu bertarikh 6 Oktober 2026.
“Menurut KLK, PT MJSP mengamalkan dasar sifar pembakaran dan tidak menjalankan aktiviti penanaman semula, selain mendakwa majoriti kebakaran berlaku di luar kawasan konsesinya,” kata kementerian.
KLK turut memaklumkan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran yang telah dilaksanakan, manakala KPK melalui MPOB akan terus mendapatkan maklumat terkini daripada syarikat Malaysia yang beroperasi di Kalimantan.
KPK menegaskan bahawa syarikat Malaysia yang beroperasi di luar negara perlu mematuhi undang-undang negara berkenaan serta melaksanakan langkah pencegahan dan pengawalan kebakaran secara berkesan, termasuk menangani risiko api merebak dari kawasan sekitar.
Dalam pada itu, kementerian akan meneliti cadangan memperkukuh kerjasama dengan Indonesia melalui saluran bersesuaian, termasuk Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), bagi meningkatkan perkongsian maklumat serta usaha pencegahan dan pengawalan kebakaran.
KPK berkata, kementerian komited memastikan industri sawit beroperasi secara mampan dan bertanggungjawab, dengan perlindungan kesihatan awam serta alam sekitar sebagai keutamaan. - DagangNews.com





