Perumahan bukan lagi komoditi, KPKT guna Big Data tentukan keperluan rakyat

10 Aug 2026 • 2:11 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perumahan bukan lagi komoditi, KPKT guna Big Data tentukan keperluan rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan mahu mengubah pendekatan sektor perumahan negara daripada sekadar melihat rumah sebagai komoditi pasaran kepada satu keperluan asas yang bersifat lebih manusiawi dan mampu dimiliki rakyat.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pendekatan itu menjadi antara asas utama Dasar Perumahan Negara (DPN) 2026-2035 yang memberi penekanan terhadap penyediaan kediaman berkualiti, selamat, selesa dan berdaya huni.

“Dulu perumahan dianggap sebagai sektor hartanah dan komoditi pasaran, tetapi kita mahu menjadikannya sebagai salah satu hak asasi manusia.

“Saya percaya setiap anak Malaysia layak mendapat tempat berteduh yang berkualiti dan rumah yang mampu milik, bukan sekadar ‘mampu mimpi’,” katanya pada sidang akhbar Majlis Peluncuran Dasar Perumahan Negara 2026-2035 di KLGCC Convention Centre, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Kor Ming, usaha menjadikan sektor perumahan lebih manusiawi turut disokong penggunaan ‘Big Data Analytics’ yang akan diperkenalkan mulai tahun depan bagi menangani ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan keperluan sebenar rakyat.

Katanya, antara masalah kritikal sektor perumahan ketika ini bukan kekurangan pembinaan, sebaliknya jenis kediaman yang dibangunkan tidak semestinya sepadan dengan permintaan di sesuatu kawasan sehingga menyebabkan lambakan hartanah tidak terjual.

“Big Data Analytics akan menyediakan data mengikut lokaliti, wilayah dan negeri sebelum pemaju membangunkan sesuatu projek.

“Pemaju boleh merujuk data berkenaan bagi memastikan kajian kebolehlaksanaan mereka berasaskan data dan membina produk yang benar-benar diperlukan pasaran,” katanya.

Jelasnya, sistem berkenaan akan menggabungkan data kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan KPKT sebelum dibuka kepada pemain industri sebagai rujukan dalam membuat keputusan pembangunan.

Malah katanya, analisis itu turut mengambil kira pendapatan mengikut lokaliti bagi memastikan takrif rumah mampu milik lebih mencerminkan realiti sesuatu kawasan berbanding menggunakan satu kadar harga untuk seluruh negara.

Kor Ming berkata, Big Data Analytics yang turut dibantu teknologi kecerdasan buatan (AI) juga akan digunakan bagi menentukan kawasan, jenis produk serta julat harga yang sesuai berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

“Apabila kita ada Big Data Analytics yang dibantu AI, ia boleh menunjukkan kawasan mana yang sesuai, produk apa yang diperlukan dan pada harga berapa.

“Kita mahu memastikan rakyat Malaysia memiliki rumah mengikut keperluan dan permintaan masing-masing,” katanya.

Tambahnya, keseluruhan reformasi tersebut selaras dengan matlamat menjadikan perumahan negara lebih mudah dimiliki, selamat, selesa dan inklusif dengan kesejahteraan rakyat sebagai teras utama. – KOSMO! ONLINE

The post Perumahan bukan lagi komoditi, KPKT guna Big Data tentukan keperluan rakyat appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved