
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Analitik Data Raya atau Big Data Analytics mulai tahun depan bagi mengatasi masalah ketidakpadanan antara penawaran rumah dengan keperluan sebenar rakyat.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk melaksanakan inisiatif itu di bawah Dasar Perumahan Negara 2026-2035.
Menurutnya, masalah utama sektor perumahan negara ketika ini bukan lagi sekadar penawaran atau pembinaan rumah sebaliknya ketidakpadanan produk yang dibina dengan keperluan pembeli di sesuatu lokaliti.
“Produk yang ditawarkan bukan produk yang diperlukan. Sebab itu ada hartanah yang tidak dijual.
“Oleh kerana itu, kita akan memperkenalkan Big Data Analytics mulai tahun depan di bawah dasar ini supaya semua lokaliti, wilayah dan negeri mempunyai data sebelum pemaju perumahan membangunkan sesuatu projek.
“Mereka boleh merujuk kepada data itu supaya mereka tahu kajian kebolehlaksanaan itu dipacu menggunakan data,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026–2035 di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, KPKT turut memberi tumpuan kepada usaha menangani projek sakit dan terbengkalai yang disifatkannya sebagai mimpi ngeri kepada pembeli rumah serta industri hartanah negara.
“Setakat pagi ini, pasukan petugas khas yang ditubuhkan kementerian berjaya memulihkan 1,647 projek sakit dan terbengkalai dalam tempoh tiga tahun, bernilai RM153 bilion melibatkan 200,000 pembeli rumah,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga menyasarkan tiada lagi projek perumahan terbengkalai menjelang 2030 menerusi pelaksanaan reformasi perumahan Madani.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan reformasi perumahan Madani dengan visi dan misinya iaitu tiada rumah terbengkalai menjelang 2030.
“Mekanisme yang akan diperkenalkan ialah klausa Option to Purchase (OTP) yang memberi ruang kepada pemaju atau pembeli menarik diri dalam tempoh tertentu sekiranya projek dilihat berisiko gagal atau pembeli mempunyai pertimbangan lain.
“Di bawah klausa ini, kita akan memberikan satu tempoh tertentu dan dalam tempoh itu, sekiranya jualan tidak memberangsangkan dan pemaju merasakan projek berkenaan berisiko menjadi projek gagal, mereka mempunyai hak untuk menawarkan penarikan diri.
“Dalam keadaan itu, wang deposit yang telah dibayar oleh pembeli akan dipulangkan semula 100 peratus bersama faedah bank. Pada masa sama, pembeli juga diberi ruang sekiranya dalam tempoh khas itu mereka merasakan ada pilihan projek lain yang lebih baik dan mahu menarik diri,” katanya.
Beliau berkata, jika pembeli menarik diri, mereka perlu membayar caj pentadbiran dan faedah kepada pemaju.
“Jadi, mekanisme ini adil kepada kedua-dua pihak dan saya yakin klausa OTP ini akan banyak membantu mengurangkan projek-projek terbengkalai,” katanya. – UTUSAN
The post KPKT guna Analitik Data Raya bantu atasi ketidakpadanan perumahan appeared first on Utusan Malaysia.






