
SHAH ALAM, 2 NOV: Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan kemudahan kuliah secara hibrid selama empat hari kepada siswa guru Institut Pendidikan Guru (IPG) sempena sambutan Deepavali.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata kemudahan itu membolehkan siswa guru yang menuntut jauh dari kampung halaman pulang meraikan perayaan bersama keluarga sambil mengikuti kuliah secara dalam talian.
Menurutnya, kuliah hibrid dilaksanakan dari 9 hingga 12 November bagi Kumpulan A, manakala 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.
“Melalui kemudahan ini, siswa guru yang pulang meraikan Deepavali masih boleh mengikuti kuliah secara dalam talian.
“Kita mahu memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan masa bersama keluarga,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Berdasarkan surat pemakluman Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bertarikh 30 Oktober, cuti Deepavali bagi negeri Kumpulan A iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu ditetapkan pada 8 November.
Bagi Kumpulan B melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah, cuti ditetapkan pada 9 November.
Sarawak pula tidak diberikan cuti berkenaan kerana Deepavali bukan cuti umum negeri itu.
Surat sama turut memaklumkan IPG Kampus boleh mengemukakan permohonan cuti tambahan dan cuti berganti kepada IPGM sekiranya terdapat keperluan.
Selain itu, kampus yang mempunyai bilangan pelajar India yang kecil boleh memberikan kebenaran bercuti kepada pelajar terbabit.




