Deepavali: Siswa guru dibenar ikuti kuliah hibrid empat hari

2 Nov 2026 • 3:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Deepavali: Siswa guru dibenar ikuti kuliah hibrid empat hari
Siswa guru di Institut Pendidikan Guru dibenarkan mengikuti kuliah secara hibrid selama empat hari sempena sambutan Deepavali.
Image from: Deepavali: Siswa guru dibenar ikuti kuliah hibrid empat hari
Surat pemakluman berkaitan cuti perayaan Deepavali.

PUTRAJAYA – Siswa guru di Institut Pendidikan Guru (IPG) dibenarkan mengikuti kuliah secara hibrid selama empat hari sempena sambutan Deepavali pada 8 November ini bagi memberi peluang mereka pulang meraikan perayaan itu bersama keluarga.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, kemudahan itu disediakan selepas mengambil kira keadaan siswa guru yang menuntut ilmu jauh dari kampung halaman dan berhasrat pulang menyambut perayaan berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan kuliah secara hibrid itu ditetapkan pada 9 hingga 12 November bagi siswa guru Kumpulan A, manakala 10 hingga 13 November bagi Kumpulan B.

“Melalui kemudahan ini, siswa guru yang pulang meraikan Deepavali masih boleh mengikuti kuliah secara dalam talian.

“IPG Kampus juga boleh memohon cuti tambahan dan cuti berganti sekiranya terdapat keperluan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menurut Fadhlina, kemudahan itu bertujuan memastikan pembelajaran terus berjalan dengan baik tanpa mengabaikan kepentingan siswa guru meluangkan masa bersama keluarga.

**media[3697272]**

Sementara itu, menerusi surat pemakluman Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) bertarikh 30 Oktober, cuti Deepavali bagi Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu ditetapkan pada 8 November.

Bagi Kumpulan B pula, melibatkan Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Sabah, cuti ditetapkan pada 9 November.

Bagaimanapun, tiada cuti diberikan kepada IPG di Sarawak kerana Deepavali bukan cuti umum negeri berkenaan.

IPGM turut memaklumkan bahawa kampus yang mempunyai bilangan siswa guru berketurunan India yang tidak ramai boleh memberi kebenaran bercuti kepada pelajar terbabit.

Pelaksanaan kuliah secara hibrid itu membolehkan siswa guru mengikuti sesi pengajian dari lokasi masing-masing sepanjang tempoh ditetapkan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved