
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan Malaysia. Disebabkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan, Bahasa Melayu digunakan meluas terutama dalam kebanyakan urusan rasmi atau harian.
Malah, pelbagai inisiatif telah dilakukan bagi memperkasa dan memartabatkan bahasa rasmi ini.
Perkasa Bahasa Melayu Dalam Bidang Undang-Undang
Hari ini (27 Februari), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Simposium Pemerkasaan Bahasa Kebangsaan Dalam Bidang Undang-Undang bertempat di Balai Budaya Tun Naser, Wisma DBP Kuala Lumpur.
Bertemakan Merakyatkan Undang-Undang, Memartabatkan Bahasa Kebangsaan, penganjuran simposium ini bertujuan untuk menanam dan menyemai kecintaan serta mewujudkan sikap megah bahasa kepada semua pihak khususnya dalam bidang undang-undang.
Menariknya, penganjuran simposium ini merupakan kali pertama diadakan dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman (Jabatan Perdana Menteri), Fakulti Undang-Undang Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Badan Peguam Malaysia dan Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

KPM & DBP Sokong Usaha Martabatkan Bahasa Melayu Dalam Bidang Perundangan
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan DBP sentiasa bersedia menyokong dan mendukung pemerkasaan bahasa kebangsaan khususnya dalam bidang undang-undang di negara ini.
“Saya beri jaminan bahawa DBP sentiasa bersiap siaga bagi penyediaan prasarana berkaitan peristilahan khususnya dalam bidang undang-undang serta memberikan kursus-kursus bahasa,” katanya.
Ia juga termasuklah pelaksanaan program yang bersesuaian antaranya seperti pertandingan debat dan pidato bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa kebangsaan kepada pengamal undang-undang terutamanya dalam kalangan peguam.
“Usaha murni ini amat penting kerana kita tidak mahu akses berkaitan undang-undang bersifat dwistandard, khususnya yang berkaitan dengan sistem penyampaian, sehingga keadilan tidak dapat ditegakkan bagi menjamin hak dan keharmonian rakyat Malaysia yang penuh kerencaman ini.
“Sehubungan itu, KPM dan agensi di bawahnya, khususnya DBP akan sentiasa bersedia menyokong dan mendukung pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam bidang undang-undang dan keseluruhan ranah di negara ini,” katanya.

Simposium Platform Himpun Pakar Dari Pelbagai Bidang
Fadhlina berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr Mohd Anwar Ridhwan ketika majlis perasmian.
Simposium yang berlangsung selama sehari ini menjadi platform menghimpunkan pelbagai tokoh dan pakar daripada pelbagai latar belakang termasuklah pengamal undang-undang, ahli akademik dan pelajar.
Malah, resolusi atau hasil keputusan yang dibincangkan dalam simposium ini akan diserahkan kepada menteri yang bertanggungjawab dalam bidang undang-undang bagi menyokong dan merangka strategi bagi memperkasakan Bahasa Melayu.


![“Semua Stylish!” – Pelancong Dari Indonesia Terpegun Lihat Gaya Tudung Wanita Di Malaysia [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/women-fashion.jpeg)
![Baru Umur 6 Tahun, Aksi Kanak-Kanak Menari Tradisional Ikut Rentak Lagu Buat Ramai Kagum [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/lifestyle.jpeg)
