
Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program melibatkan seorang penceramah bebas dihentikan serta-merta susulan beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, arahan itu dibuat bagi memberi ruang kepada siasatan penuh berhubung dakwaan melibatkan penceramah berkenaan yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
Menurut beliau, dakwaan yang dibangkitkan dipandang serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid.
“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Buat laporan polis
Dalam pada itu, Fadhlina menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membuat laporan kepada pihak polis bagi membolehkan perkara berkenaan disiasat.
Katanya, laporan kepada pihak berkuasa penting bagi memastikan murid yang terlibat mendapat perlindungan dan sokongan sewajarnya.
“Buat masa sekarang saya telah mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan,” katanya.
Keselamatan murid diberi perhatian
Fadhlina turut menegaskan keselamatan murid perlu sentiasa diberikan perhatian serius dan tidak boleh dikompromi.
“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.
Terdahulu, penyanyi rap dan personaliti media sosial, Caprice menggesa pihak berkaitan memberikan perhatian segera terhadap dakwaan kelakuan tidak wajar seorang motivator yang dikatakan terlibat dalam program sekolah.
Menerusi hantaran di media sosial, Caprice berkongsi rakaman perbualannya dengan individu yang menceritakan pengalaman serta maklumat berkaitan lelaki berkenaan.
The post KPM henti serta-merta program libatkan penceramah bebas susulan dakwaan tular appeared first on The Reporter.






