Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua program yang melibatkan penceramah bebas yang dikaitkan dengan dakwaan perlakuan tidak wajar seperti tular di media sosial dihentikan serta-merta.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu diambil bagi memberi ruang kepada siasatan penuh terhadap dakwaan berkenaan.
Menurutnya, perkara tersebut dipandang serius kerana melibatkan aspek keselamatan dan perlindungan murid yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
“Saya menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat tampil membuat laporan kepada pihak polis.
“Laporan kepada pihak berkuasa sangat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya,” katanya hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan perlakuan tidak wajar membabitkan seorang penceramah bebas yang sering mengadakan program di sekolah.
Susulan itu, Fadhlina menggesa individu yang mempunyai maklumat berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan membuat laporan kepada pihak polis.
Beliau turut menegaskan bahawa keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti, selain memastikan mereka mendapat perlindungan serta sokongan yang sewajarnya.
Sumber: Fadhlina Sidek






