Semua program libat ‘motivator’ sekolah didakwa berkelakuan tidak senonoh dihentikan

1 Oct 2026 • 2:27 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Semua program libat ‘motivator’ sekolah didakwa berkelakuan tidak senonoh dihentikan

PETALING JAYA – Semua program melibatkan seorang penceramah bebas yang didakwa berkelakuan tidak wajar ketika mengendalikan program bersama murid di sekolah diarahkan dihentikan serta-merta.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu susulan beberapa dakwaan yang kini tular di media sosial membabitkan penceramah berkenaan.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara terbabit yang disifatkan serius kerana menyentuh aspek keselamatan dan perlindungan murid.

“Saya mengambil maklum beberapa dakwaan yang sedang tular di media sosial melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah.

“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid. Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan itu diminta tampil membuat laporan kepada pihak polis.

Menurutnya, laporan kepada pihak berkuasa amat penting bagi memastikan anak-anak mendapat perlindungan dan sokongan yang sewajarnya.

“Buat masa sekarang saya telah mengarahkan semua program melibatkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta bagi memberi ruang kepada siasatan penuh dilaksanakan,” katanya.

Sebelum ini, penyanyi rap dan personaliti media sosial, Caprice menggesa pihak berkaitan memberikan perhatian segera terhadap dakwaan kelakuan tidak wajar seorang motivator yang dikatakan terlibat dalam program sekolah.

Menerusi hantaran di media sosial, Caprice turut berkongsi rakaman perbualannya dengan seorang individu yang menceritakan pengalaman serta maklumat berkaitan lelaki berkenaan.

Caprice menegaskan sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk pelajar, selain memaklumkan pihaknya sedang membantu menghimpunkan maklumat daripada individu yang mendakwa menjadi mangsa.

“Sekolah sepatutnya selamat daripada orang-orang macam motivator itu. Pihak kami tengah bantu kumpulkan semua mangsa, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Semua program libat ‘motivator’ sekolah didakwa berkelakuan tidak senonoh dihentikan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved