KAJANG - Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti supaya penglibatan pelajar di institusi penjara dalam aktiviti kokurikulum termasuk sukan diberikan merit yang boleh dipertimbangkan bagi kemasukan ke universiti.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelajar berkenaan mempunyai peluang meneruskan pendidikan ke peringkat lebih tinggi selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keluar dari institusi berkenaan.
"Kita (KPM) akan tengok markah penglibatan dalam kokurikulum untuk dipertimbangkan supaya selepas anak-anak selesai SPM, merit itu boleh membantu mereka menyambung pengajian ke peringkat seterusnya," katanya berucap pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih ke-17 KPM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Rosoman Abu Bakar @ Che Din dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas.
Beliau berkata, selain merit kokurikulum, KPM juga akan berbincang dengan bahagian latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengenai ruang untuk memberikan sijil kemahiran kepada pelajar yang mengikuti latihan kemahiran ketika berada di institusi penjara.
Fadhlina berkata, pelajar berkenaan memperoleh pelbagai kemahiran termasuk menjahit dan menghasilkan makanan yang boleh dimanfaatkan apabila mereka kembali kepada masyarakat.
"Perkara-perkara inilah yang kita hendak dengar maklum balas, buat tindakan supaya apabila kita sebut tentang hijrah itu, ia benar-benar terjadi dalam konteks bahawa ada perubahan berlaku dan disambut dengan sokongan termasuk daripada KPM," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fadhlina berkata pelajar sekolah dalam penjara mencatatkan kelulusan SPM 100 peratus bagi dua tahun berturut-turut, sekali gus membuktikan tempat bukan penghalang untuk mereka mencapai kejayaan dalam pendidikan.
"Ini bukan soal tak ada peluang, tempat, sekolah di mana, tetapi adalah soal keazaman mereka," katanya.
Beliau berkata, KPM turut melihat usaha memastikan pelajar sekolah dalam penjara dapat bergerak seiring dengan perkembangan pendidikan di luar termasuk menerusi pendidikan digital.
Fadhlina berkata, sokongan ibu bapa juga penting dalam proses itu, khususnya dengan terus hadir dan memberikan sokongan kepada anak-anak.
Sementara itu, Zainal berkata, KPM menyasarkan pengiktirafan markah Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) bagi pelajar di sekolah dalam institusi penjara dilaksanakan tahun ini, sekali gus calon SPM 2027 memperoleh merit 10 peratus bagi permohonan kemasukan ke universiti.
Beliau berkata, pengiktirafan PAJSK penting kerana pencapaian sukan dan kokurikulum boleh membantu meningkatkan merit pelajar terbabit untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Zainal berkata, KPM turut melihat usaha menyediakan akses kepada pelantar pembelajaran Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa) kepada guru yang mengajar di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di seluruh negara.
"Kementerian juga sedang meneliti penyediaan akses DELIMa secara terkawal kepada pelajar di institusi berkenaan supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran dalam talian dan mengakses bahan pendidikan secara digital serta memastikan mereka menikmati kemudahan pembelajaran yang setara dengan pelajar lain,” katanya. - Bernama






