
BERITA baik buat ibu ayah dan murid apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan cuti tambahan sehingga dua hari sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Berdasarkan Kalendar Akademik KPM 2026, cuti tersebut diberikan mengikut kumpulan negeri.
Bagi Kumpulan A yang melibatkan Kedah, Kelantan dan Terengganu, cuti sekolah bermula pada 19 Mac.
Sementara itu, negeri Kumpulan B pula menikmati cuti tambahan dua hari iaitu pada 19 dan 20 Mac.
Antara negeri yang berada dalam Kumpulan B ialah Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
Dalam masa sama, cuti Aidilfitri turut bersambung dengan Cuti Penggal Pertama, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menikmati tempoh rehat yang lebih panjang.
Bagi Kumpulan A, cuti penggal berlangsung selama sembilan hari bermula 20 hingga 28 Mac, manakala Kumpulan B pula bercuti dari 21 hingga 29 Mac.
Diharapkan tempoh cuti yang lebih panjang ini dapat memberi ruang kepada keluarga merancang perjalanan Aidilfitri dengan lebih teratur.
Dalam keterujaan pulang beraya, jangan lupa pandu dengan selamat!


