IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi keutamaan terhadap permohonan pertukaran melibatkan guru duka lara sebagai usaha menjaga kebajikan warga pendidik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, daripada keseluruhan pertukaran yang diluluskan setakat ini, 80 peratus permohonan adalah membabitkan kes pasangan yang terpaksa berjauhan.
Katanya, selain kes pasangan berjauhan, pertimbangan turut diberikan kepada permohonan melibatkan faktor kesihatan dan keselamatan.
"KPM amat memahami isu ini dan telahpun mengambil pertimbangan semua permohonan kerana memang tujuannya untuk menjaga kebajikan guru-guru kita.
"Sebab itu dalam konteks permohonan pertukaran ini, 80 peratus adalah terkait dengan pasangan jarak jauh, ini yang kita selesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.
Fadhlina berkata, kementerian memahami situasi dihadapi warga pendidik melibatkan pasangan jarak jauh yang menjadi antara isu utama kebajikan guru ketika ini.
Menurutnya, pelbagai langkah penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan proses pertukaran menjadi lebih fleksibel dan mesra guru.
“Antara langkah diambil ialah memendekkan tempoh kelayakan untuk memohon pertukaran kepada dua tahun berbanding sebelum ini yang lebih lama," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan kekeliruan berkaitan permohonan Program Diploma Pascasiswazah Pendidikan (PDPP) Kursus Dalam Cuti (KDC) melibatkan guru lantikan Contract of Service (COS) telah diselesaikan.
Menurutnya, isu berkenaan hanya bersifat sementara dan telah ditangani di peringkat Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) serta KPM sebaik sahaja aduan diterima.
“Kekeliruan itu telah kita selesaikan dan kini tiada lagi isu berkaitan perkara tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM telah berjaya menyelesaikan isu kekosongan 50 jawatan pentadbir sekolah melibatkan guru besar dan pengetua yang dikenalpasti sebelum ini.
Katanya, kementerian memandang serius isu kekosongan berkenaan kerana ia melibatkan aspek pengurusan, reformasi sekolah dan juga keselamatan.
"Pelantikan itu telah bermula hari ini dan maknanya mereka boleh menjalankan tugas pentadbiran sekolah masing-masing," katanya.






