KPT sasar 70 peratus pelajar dapat kolej kediaman menjelang 2035

LocalPolitics
26 Oct 2026 • 2:15 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KPT sasar 70 peratus pelajar dapat kolej kediaman menjelang 2035

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal di universiti awam menjelang 2035.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sasaran itu digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024.

Beliau berkata, dasar berkenaan dibangunkan hasil kerjasama KPT dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) serta sesi libat urus bersama pemimpin mahasiswa.

“Pembangunan dasar ini turut disusuli garis panduan yang diedarkan kepada semua universiti awam bagi meneliti keperluan semasa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (PH- Bandar Tun Razak) yang ingin tahu usaha berterusan menangani isu kekurangan penempatan pelajar kolej kediaman IPTA khususnya golongan B40.

Menurut beliau, KPT merancang membangunkan lebih banyak kolej kediaman sebagai langkah jangka panjang bagi menyediakan penginapan selesa dan kondusif kepada mahasiswa, termasuk golongan B40.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion dari 2021 hingga 2025 bagi menggantikan, menaik taraf dan memulihkan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA.

Dalam tempoh sama, hampir RM225 juta turut diperuntukkan bagi kerja menaik taraf dan membaik pulih asrama sedia ada menerusi peruntukan pembangunan.

“Sebanyak 15 projek pembinaan kolej kediaman telah disiapkan melalui kaedah kerjasama awam-swasta (PPP), dengan kapasiti keseluruhan 45,000 pelajar.

“Kerajaan juga berhasrat membangunkan lima kolej kediaman baharu di universiti awam melalui kaedah sama, yang dijangka menyediakan kapasiti penginapan sehingga 21,000 pelajar,” katanya.

Tambah beliau, KPT turut menerima peruntukan RM800 juta bagi 2025 untuk kerja penggantian, penaiktarafan dan pemulihan infrastruktur serta peralatan usang di IPTA, termasuk asrama dan kolej kediaman.

Dalam perkembangan lain, katanya, KPT bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) bagi menambah kemudahan penginapan mahasiswa menerusi projek Residensi Mahasiswa Universiti Malaya.

Projek perintis yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kira-kira dua minggu lalu itu dijangka siap pada 2026 dan mampu memberi manfaat kepada 10,000 pelajar Universiti Malaya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengumumkan pembangunan kolej kediaman bagi dua lagi universiti pada 2025, iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Selain itu, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) menyediakan peruntukan RM750 juta bagi pembangunan Projek Vista Campus yang seterusnya akan melibatkan enam universiti lain.- KOSMO! ONLINE

The post KPT sasar 70 peratus pelajar dapat kolej kediaman menjelang 2035 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved