
KUALA LUMPUR – Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang menyewa kediaman di luar kampus perlu memaklumkan lokasi tempat tinggal mereka kepada pihak universiti bagi memudahkan pemantauan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pemantauan sukar dilakukan apabila terdapat pelajar yang menguruskan sendiri urusan penyewaan tanpa melalui pihak universiti.
“Perkara itu agak sukar untuk kita pantau. Tetapi, yang kita tekankan ialah supaya mereka sentiasa memaklumkan keberadaan mereka, tempat tinggal mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai cadangan kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kerajaan negeri dan pemilik hartanah bagi menyediakan rumah sewa pelajar pada kadar terkawal sementara menunggu kolej kediaman baharu disiapkan.
Menurut Zambry, terdapat universiti awam dan politeknik yang bekerjasama dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar untuk menguruskan penempatan mahasiswa di kawasan tertentu, manakala sebahagian pelajar memilih menyewa sendiri.
“Cadangan penyediaan rumah sewa pada kadar terkawal turut dipertimbangkan, namun pelaksanaannya bergantung pada kapasiti universiti dan kedudukan kewangan institusi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, cadangan itu turut dikemukakan oleh majlis perwakilan mahasiswa, dengan beberapa universiti dikenal pasti memerlukan perhatian khusus dalam aspek penginapan pelajar.
Dalam pada itu, Zambry berkata, pelajar daripada keluarga B40 yang tidak mendapat tempat di kolej kediaman diberi keutamaan untuk tinggal di asrama, bersama pelajar orang kurang upaya (OKU), atlet dan pelajar beruniform. – KOSMO! ONLINE
The post Pelajar sewa luar kampus perlu maklum lokasi kediaman appeared first on Kosmo Online.





