
KUALA LUMPUR - Permohonan enam pemimpin adat Negeri Sembilan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung penyingkiran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, ditarik balik hari ini.
Penarikan balik itu dibuat selepas Menteri Besar Negeri Sembilan mengakui telah menandatangani proklamasi bertarikh 3 Ogos lalu, sekali gus menjadikan permohonan berkenaan tidak lagi mempunyai isu untuk diputuskan oleh mahkamah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman, merekodkan penarikan balik berkenaan ketika pengurusan kes yang dijalankan secara dalam kamar.
Peguam Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili pemohon memaklumkan kepada mahkamah, beliau telah menerima arahan untuk menghentikan permohonan tersebut.
Sebelum ini, keenam-enam pemohon memohon perintah mandamus bagi mengarahkan Menteri Besar menandatangani proklamasi yang mengiktiraf penyingkiran Tuanku Muhriz.
Mereka turut memohon supaya satu lagi proklamasi dikeluarkan bagi mengiktiraf Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.
Permohonan itu difailkan pada Julai lalu dengan menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sebagai responden.
Pemohon terdiri daripada bekas Undang Luak Sungai Ujong Datuk Mubarak Thahak, bekas Undang Luak Jelebu Datuk Maarof Mat Rashad dan bekas Undang Luak Rembau Datuk Abdul Rahim Yasin.
Turut menjadi pemohon ialah Undang Luak Johol yang masih berkhidmat, Datuk Muhammed Abdullah, Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri dan bekas Shahbandar Sungai Ujong Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid. - Getaran, 7 Oktober 2026





