Krisis Istana: 10 Bekas Anggota Exco Negeri Sembilan Fail Saman, Cabar Pembatalan Pelantikan

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 7:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Istana: 10 Bekas Anggota Exco Negeri Sembilan Fail Saman, Cabar Pembatalan Pelantikan

SEREMBAN - Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan terus berlarutan tanpa sebarang petanda ia bakal pulih dalam masa terdekat. 

Terbaru, sepuluh bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang ‘dipecat’ baru-baru ini  memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan bagi mencabar keputusan membatalkan pelantikan mereka.

Kesemua plaintif terdiri daripada Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umairah Hashim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.

Mereka memfailkan saman itu pada Isnin melalui firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, kesemua plaintif memohon pengisytiharan mahkamah bahawa pembatalan pelantikan mereka adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Antara persoalan dibangkitkan ialah sama ada pelantikan seseorang sebagai anggota Exco negeri boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara unilateral tanpa nasihat Menteri Besar, berdasarkan tafsiran sewajarnya terhadap Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.

“Kami memohon pengisytiharan bahawa pembatalan pelantikan seperti yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan (NS PU 18) bertarikh 24 September, adalah tidak sah dan terbatal.

“Plaintif turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi tambahan, selain faedah serta kos,” menurut dokumen berkenaan.

Mereka turut memohon keputusan mahkamah berhubung persoalan perlembagaan mengenai kuasa membatalkan pelantikan anggota Exco negeri.

Mereka turut mempersoalkan sama ada peruntukan yang menyatakan anggota Exco memegang jawatan atas perkenan Raja memberikan Yang di-Pertuan Besar kuasa mutlak untuk membatalkan pelantikan secara unilateral.

Kes itu ditetapkan untuk pendengaran secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain pada 21 Oktober ini.

Sementara itu, peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit mengesahkan perkara berkenaan.

Beliau berkata permohonan itu disokong dengan 10 afidavit daripada kesemua anggota Exco berkenaan, selain satu afidavit tambahan daripada Menteri Besar.

Pada 20 September lalu, pelantikan 10 anggota Exco Negeri Sembilan berkenaan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

Pembatalan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, selaras dengan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.

Perkara tersebut dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, NS PU 18, yang diterbitkan sebagai Tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.

Warta berkenaan turut menyatakan bahawa kesemua 10 anggota Exco terbabit telah mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu, sebelum memulakan tugas sebagai anggota Exco negeri. - Getaran, 7 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved