Exco N. Sembilan dibenar masuk semula Wisma Negeri sebagai wakil rakyat

LocalPolitics
7 Oct 2026 • 12:49 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Exco N. Sembilan dibenar masuk semula Wisma Negeri sebagai wakil rakyat

SEREMBAN – Barisan Exco Negeri Sembilan yang sebelum ini berdepan sekatan akses kini dibenarkan memasuki semula Wisma Negeri, namun buat masa ini hanya dalam kapasiti sebagai wakil rakyat kawasan masing-masing.

Kebenaran itu membolehkan mereka kembali memasuki bangunan pentadbiran kerajaan negeri bagi menjalankan urusan berkaitan tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Bagaimanapun, mereka ketika ini belum menjalankan tugas dalam kapasiti sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) susulan isu berkaitan kedudukan pelantikan barisan berkenaan.

Difahamkan, tiga wakil rakyat yang dibenarkan masuk itu ialah ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris yang terdahulu dilantik sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Modal Insan;  ADUN Gemencheh, Suhaimizan Bizar (terdahulu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak  Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Sungai Lui, Datuk Mohd. Razi Mohd. Ali (terdahulu Exco Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup).

Ini bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Kewangan, Tanah dan Sumber Alam bermula 9.30 pagi tadi di Bilik Gerakan Negeri. Yang turut disertai oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dan kepimpinan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, akses ke Wisma Negeri menjadi perhatian selepas pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dilaporkan terbatal menerusi pewartaan kerajaan negeri, menyebabkan kawalan kemasukan ke bangunan berkenaan dilaksanakan.

Perkembangan terbaharu itu membolehkan wakil rakyat terlibat meneruskan urusan berkaitan kawasan masing-masing di Wisma Negeri sementara menunggu perkembangan lanjut berhubung kedudukan mereka sebagai Exco. – KOSMO! ONLINE

The post Exco N. Sembilan dibenar masuk semula Wisma Negeri sebagai wakil rakyat appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved