Krisis NS: 2 ADUN BERSATU Ubah Pendirian, Ambil Sikap Berkecuali

LocalPolitics
5 May 2026 • 11:42 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis NS: 2 ADUN BERSATU Ubah Pendirian, Ambil Sikap Berkecuali

KUALA LUMPUR - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU mengambil tindakan yang dilihat sebagai mengejutkan, apabila memutuskan untuk tampil dengan sikap berkecuali, dalam kemelut politik Negeri Sembilan.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, memutuskan untuk menuruti jejak rakan seperjuangan, Ridzuan Ahmad (Gemas) yang terlebih dahulu membuat keputusan sedemikian. 

Kedua-dua mereka bersama tiga lagi ADUN Perikatan Nasional minggu lalu mengiystiharkan sokongan terhadap tindakan 14 ADUN Barisan Nasional (BN)-UMNO yang menarik semula sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Hanifah berkata, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan rapi dengan mengambil kira kepentingan Rakyat, serta keperluan memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

“Keutamaan kami adalah memastikan persekitaran politik kekal kondusif dan tidak menjejaskan usaha pemulihan serta pertumbuhan ekonomi negeri, khususnya dalam keadaan mencabar ketika ini.

“Pada masa sama, kami berpandangan bahawa pendirian Umno di peringkat nasional dan di Negeri Sembilan ketika ini dilihat tidak konsisten serta berpotensi mengelirukan rakyat,” katanya.

Tegas beliau, sebarang perubahan besar dalam landskap politik negeri wajar dikembalikan kepada rakyat melalui pilihan raya umum atau pilihan raya negeri akan datang.

“Pendirian berkecuali ini mencerminkan komitmen kami terhadap prinsip kematangan politik, kestabilan pentadbiran serta keutamaan terhadap kebajikan rakyat berbanding kepentingan politik jangka pendek,” katanya.

Terdahulu, Ridzuan dipetik sebagai berkata, keputusan untuk mengambil sikap berkecuali dibuat selepas pertimbangan mendalam terhadap kepentingan rakyat serta kestabilan negeri dan negara secara keseluruhan.

Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan suasana politik kekal stabil dan tidak menjejaskan usaha pemulihan serta pertumbuhan ekonomi, terutama dalam keadaan mencabar.

Beliau turut berpandangan, pertukaran kepimpinan kerajaan negeri pada masa ini adalah tidak sesuai dan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat.

“Sebarang perubahan besar dalam landskap politik perlu diserahkan kepada mandat rakyat melalui pilihan raya akan datang, dan bukan dilaksanakan dalam situasi semasa yang boleh menimbulkan ketidaktentuan,” katanya. — Getaran, 5 Mei 2026