Krisis Negeri Sembilan: Ismail Nafi Bakal Diganti Sebagai MB 

LocalPolitics
7 Nov 2026 • 8:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Krisis Negeri Sembilan: Ismail Nafi Bakal Diganti Sebagai MB 

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim menafikan khabar angin kononnya beliau bakal digantikan, sambil menegaskan masih memegang jawatan itu ketika ini.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang perkembangan yang diketahuinya berhubung kemungkinan berlaku pertukaran kepimpinan kerajaan negeri.

“Saya tidak tahu mengenai perkara itu. Buat masa ini, saya masih Menteri Besar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Bazar Deepavali Little India Seremban, semalam.

Spekulasi berkenaan timbul susulan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Jelebu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, disebut-sebut sebagai calon untuk mengambil alih jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Ismail enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan itu dan mengulangi bahawa beliau tidak mengetahui sebarang perkembangan berkaitan perkara berkenaan.

Spekulasi mengenai kedudukan Menteri Besar itu timbul ketika Negeri Sembilan berdepan kemelut membabitkan institusi tradisional dan pentadbiran kerajaan negeri.

Sebelum ini, Ismail turut menepis dakwaan bahawa beliau akan meletakkan jawatan, sebaliknya menegaskan masih mendapat sokongan kesemua 24 ADUN Barisan Nasional (BN).

Beliau juga mencadangkan supaya persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan pada 26 November ini, manakala Belanjawan Negeri Sembilan dijadual dibentangkan pada keesokan harinya.

Bagaimanapun, cadangan tarikh berkenaan masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Ismail enggan mengulas dakwaan pihak pembangkang bahawa persidangan DUN tidak boleh berlangsung tanpa notis rasmi yang dikeluarkan sekurang-kurangnya 28 hari lebih awal.

Sementara itu, Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menafikan wujud perpecahan atau kem tertentu dalam UMNO dan BN negeri itu susulan polemik politik yang tercetus sejak kebelakangan ini.

Beliau menyifatkan dakwaan mengenai kewujudan ‘kem Jalaluddin’ dan ‘kem Ismail Lasim’ sebagai cubaan pihak tertentu untuk mencetuskan perbalahan dalam kalangan kepimpinan parti di negeri berkenaan.

Menurutnya, perkara itu turut dibincangkan dalam satu pertemuan bersama ketua-ketua bahagian BN dan ADUN hari ini, yang mencapai kesepakatan bahawa tiada perpecahan seumpama itu berlaku dalam organisasi berkenaan.

“Setakat pengetahuan saya, begitu juga ketua-ketua bahagian dan rakan-rakan ADUN, semangat kebersamaan serta kesepaduan UMNO di Negeri Sembilan dan BN masih kukuh.

“Tiada kem tertentu. Kami hanya memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab untuk melaksanakan mandat yang telah diamanahkan kepada BN dan Perikatan Nasional (PN) pada 1 Ogos lalu,” katanya. - Getaran, 7 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved