JF Technology rancang jana hasil RM310 juta menerusi terbitan 388 juta waran percuma

Business & Finance
29 Oct 2026 • 5:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JF Technology rancang jana hasil RM310 juta menerusi terbitan 388 juta waran percuma Image from: JF Technology rancang jana hasil RM310 juta menerusi terbitan 388 juta waran percuma amree29/10/2026 - 17:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt — JF Technology Berhad merancang penerbitan sehingga 388.01 juta waran percuma yang berpotensi menjana hasil kasar antara RM308.4 juta hingga RM310.4 juta sekiranya kesemua waran berkenaan dilaksanakan sepenuhnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata langkah itu memperkukuh kedudukan kewangan pengeluar rumusan ujian semikonduktor itu, selain menyediakan dana bagi keperluan modal kerja dan perbelanjaan modal (capex) pada masa hadapan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, JF Tech berkata cadangan itu membabitkan penerbitan dua waran bagi setiap lima saham biasa sedia ada yang dipegang pemegang saham layak pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kemudian.

 

"Waran berkenaan akan diberikan secara percuma dengan mempunyai tempoh pelaksanaan selama lima tahun, sekali gus memberi peluang kepada pemegang saham untuk dapat menambah pegangan ekuiti mereka dalam kumpulan ini," jelas JF Technology.

 

Harga pelaksanaan waran akan ditentukan oleh lembaga pengarah selepas memperoleh semua kelulusan berkaitan, dengan harga ditetapkan pada diskaun atau premium tidak lebih 20% berbanding harga purata wajaran volum pasaran saham bagi tempoh lima hari dagangan.

 

Bagi tujuan ilustrasi, kumpulan itu menggunakan harga pelaksanaan andaian 80 sen bagi setiap waran, iaitu premium kira-kira 3.5% berbanding harga purata wajaran volum lima hari sebanyak RM0.7728 sehingga tarikh praktikal terkini.

 

JF Technology_DagangNews2026

 

Berdasarkan andaian itu, pelaksanaan penuh waran dijangka membolehkan JF Technology mengumpul hasil kasar sehingga RM310.4 juta, namun dana berkenaan hanya akan diterima apabila waran dilaksanakan dan bukan ketika waran percuma itu diterbitkan.

 

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Foong Wei Kuong berkata, cadangan itu merupakan satu lagi langkah menghargai sokongan pemegang saham, selain pembayaran dividen yang dilaksanakan, di samping berpotensi meningkatkan kecairan dagangan saham.

 

"Usaha pelaksanaan waran ini juga berpotensi mengukuhkan asas modal serta dana pemegang saham kumpulan serta menyediakan pembiayaan tambahan tanpa perlu menanggung sebarang kos faedah seperti hutang pinjaman bank," jelas beliau.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JF Tchnology, Andy Goh Joo Hwa pula berkata, syarikat berupaya memenuhi keperluan pelanggan merentasi pelbagai peringkat proses ujian cip, di samping menyokong pertumbuhan perniagaan bersama kira-kira 280 pelanggan aktifnya.

 

Kumpulan turut melihat peluang pertumbuhan dalam segmen kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran berprestasi tinggi, pembungkusan termaju, automotif, elektrifikasi dan robotik. 

 

Cadangan penerbitan waran itu tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia Securities Bhd dan pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan, dengan dijangka selesai pada separuh pertama 2027, jika tiada halangan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved