amree05/11/2026 - 09:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Nov – Kedah Rubber City (KRC) berjaya menarik komitmen pelaburan berjumlah RM3.344 bilion daripada lima pelabur utama setakat September 2026, dengan tiga lagi pelabur berpotensi dijangka membawa tambahan pelaburan RM450 juta.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kerajaan kini masih lagi mengadakan sesi perbincangan dengan tiga pelabur tersebut yang menunjukkan minat tinggi untuk melaksanakan pelaburan dalam hab perindustrian getah berkenaan.
KRC yang terletak di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap dilancarkan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi pada 7 Februari 2022 dengan keluasan 503 hektar dan diuruskan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Beliau menyatakan demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dan usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 di Dewan Rakyat.
"Sementara itu, sebanyak 41 projek pembangunan koridor ekonomi sedang dilaksanakan menerusi empat agensi pembangunan wilayah, merangkumi lima projek baharu dan 36 projek yang sedang berjalan," tambah beliau.
Agensi terbabit ujar Akmal Nasrullah ialah NCIA, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Sarawak dan Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA).
Bagi NCIA, kerajaan Persekutuan jelas beliau, sudah menyediakan peruntukan sebanyak RM194.75 juta pada 2027 untuk melaksanakan sejumlah 20 projek, termasuk empat projek baharu dan kira-kira 16 projek sambungan.

Tambah beliau, Kementerian Ekonomi turut memberi penekanan kepada agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), teknologi serta pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi peruntukan pembangunan tahun depan.
"Antara inisiatif berimpak tinggi yang diberi keutamaan termasuk pembangunan kerangka pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), ekonomi biru serta pembinaan kemudahan perindustrian bagi memastikan rantaian bekalan tempatan memenuhi piawaian global," katanya.
Dalam usaha kerajaan memperkukuh kapasiti PKS, kementerian berkenaan turut menyalurkan peruntukan menerusi Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) bagi menyediakan premis moden dan tapak industri khusus kepada usahawan tempatan.
Antara projek dikenal pasti ujar Akmal Nasrullah, ialah pembinaan kilang PKS baharu di Chembong, Negeri Sembilan dengan kos RM10.2 juta serta pembangunan Fasa 5 Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah yang membabitkan nilai RM47 juta.
Inisiatif lain jelas beliau lagi, termasuk pembangunan tapak perindustrian di Gebeng, Pahang serta program pembangunan usahawan mikro, kecil dan sederhana Bumiputera di Selangor dengan peruntukan RM5.77 juta.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM645.42 juta dan perbelanjaan pembangunan RM2.12 bilion di bawah Belanjawan 2027 bagi kementerian berkenaan menerusi undian suara majoriti selepas dibahaskan 17 Ahli Parlimen. - DagangNews.com






