'Kritik biar beradab' - PKR Kedah pertikai Sanusi salahkan PM

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 12:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Kritik biar beradab' - PKR Kedah pertikai Sanusi salahkan PM
Gambar dari kiri: Tunku Nashrul Abaidah, Muhammad Sanusi dan Fitri Ismail

ALOR SETAR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah mempersoalkan tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu lesen premis perjudian di negeri itu.

Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, kerajaan negeri sendiri yang membawa perkara berkenaan ke mahkamah sebelum permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak Mahkamah Persekutuan.

Menurutnya, keputusan mahkamah perlu dihormati dan tidak wajar dikaitkan dengan Perdana Menteri kerana perkara itu diputuskan oleh badan kehakiman.

“Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan. Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri.

“Permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi memberi amaran Perdana Menteri akan dimaki rakyat Kedah sekiranya membenarkan aktiviti perjudian disambung semula di negeri itu.

Berucap pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah pada malam Selasa, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sudah melakukan apa yang terdaya untuk menghalang aktiviti berkenaan menerusi larangan menyeluruh terhadap premis perjudian dan loteri di Kedah.

Larangan yang dikuatkuasakan pada 2023 itu bagaimanapun dibatalkan Mahkamah Persekutuan melalui keputusan pada 12 Ogos lalu.

Muhammad Sanusi berkata, keputusan berhubung kelulusan lesen perjudian kini berada di tangan Menteri Kewangan.

Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata, Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman, justeru keputusan mahkamah tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada Perdana Menteri.

Beliau turut mendakwa pendirian kerajaan negeri dalam isu perjudian perlu dilihat berdasarkan fakta, bukannya dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran politik.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Fitri Ismail berkata, pihaknya juga tidak menyokong aktiviti perjudian kerana menganggap kegiatan itu boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya golongan muda.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu menerima keputusan mahkamah dan sekiranya mahu mempertahankan pendirian berhubung perjudian, perkara itu boleh diperjuangkan mengikut saluran yang tersedia.

“Jadi jangan dok pusing cerita macam bila kami kritik kenyataan Sanusi, kami ini sokong judi. Tidak. Kami pun tak mahu judi.

“Apatah lagi nak mentekedarah hasil judi. Tetapi soal kita tak suka judi dengan soal bidang kuasa undang-undang, itu dua benda berbeza,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegur penggunaan bahasa kesat Muhammad Sanusi pada sesi penjelasan isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah ketika mengkritik Perdana Menteri yang dilihatnya tidak sesuai dengan kedudukan seorang Menteri Besar.

Jelasnya, perbezaan politik tidak seharusnya menyebabkan adab diketepikan dengan menggunakan perkataan yang tidak sesuai.

“Tak salah nak marah. Tak salah nak kritik Perdana Menteri. Kita pun dalam politik ini memang tidak akan setuju semua benda.

“Tapi bila sampai guna perkataan macam ‘celaka’ dan ‘pelaq’, saya rasa itu dah tak kena dengan kedudukan seorang Menteri Besar,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved