Isu premis judi: Caci maki Sanusi hina keputusan mahkamah – Taufiq

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menyifatkan penggunaan bahasa kesat oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu premis perjudian sebagai tindakan yang bukan sahaja menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, malah menghina keputusan Mahkamah Persekutuan dan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Ketua AMK Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, umat Islam sememangnya tidak menyokong amalan perjudian yang jelas dilarang dalam Islam, namun isu berkenaan perlu ditangani berdasarkan lunas undang-undang dan bukan melalui kecaman atau maki hamun.

“Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia ingin menegaskan bahawa umat Islam sememangnya tidak menyokong amalan perjudian. Perjudian merupakan perbuatan yang jelas dilarang dalam Islam dan bukanlah suatu amalan yang digalakkan atau wajar dipromosikan dalam masyarakat.
“Justeru, pendirian menolak perjudian dan usaha membendung kemudaratan akibat amalan tersebut adalah sesuatu yang sememangnya difahami serta dihormati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Image from: Isu premis judi: Caci maki Sanusi hina keputusan mahkamah – Taufiq

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika mengulas penggunaan laras bahasa kesat seperti “celaka” dan “pelaq” oleh Sanusi ketika menyentuh isu premis perjudian.

Menurutnya, tindakan tersebut tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai serangan terhadap Anwar, sebaliknya turut menyentuh soal penghormatan terhadap institusi kehakiman serta Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan dan caci maki tersebut hakikatnya bukan sekadar serangan ke atas YAB Perdana Menteri, tetapi ia jelas merupakan satu penghinaan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan dan kemuliaan Perlembagaan Persekutuan.
“Isu ini bukan soal sama ada Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan ‘mahu’ atau ‘tidak’ meluluskan perjudian, sebaliknya ia adalah soal pematuhan kepada undang-undang,” ujarnya.

Mohammed Taufiq berkata, Mahkamah Persekutuan telah memuktamadkan keputusan berhubung sempadan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan isu berkenaan tidak wajar dijadikan modal politik untuk memainkan sentimen dan emosi rakyat, khususnya ketika berada di pentas ceramah.

Image from: Isu premis judi: Caci maki Sanusi hina keputusan mahkamah – Taufiq

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata, sekiranya kerajaan negeri benar-benar mahu menyelesaikan isu tersebut, tindakan yang lebih wajar ialah mendapatkan semakan perundangan melalui saluran yang sah.

“Meminta agar Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah untuk menyemak semula perihal sempadan bidang kuasa dan perundangan secara teratur berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Sanusi menunjukkan teladan kepimpinan yang lebih baik dengan menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak.

“Menolak budaya politik maki hamun di hadapan khalayak yang mencemarkan imej agama dan sebaliknya mempamerkan akhlak perdebatan yang tinggi,” ujarnya.

Tambahnya, tugas pembangkang untuk mengkritik kerajaan dan menjadi semak dan imbang sememangnya penting, namun ia perlu dilakukan berdasarkan fakta, dasar serta kewarasan akal.

“Mengkritik dan menjadi semak dan imbang adalah tugas pembangkang, namun ia wajib dilakukan berlandaskan fakta, dasar dan kewarasan akal, bukannya melalui caci maki yang menghina keputusan institusi mahkamah tertinggi dan Perlembagaan negara,” tambah beliau.

Sumber: Facebook Parti Keadilan Rakyat

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved