Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah mengecam kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Malaysia amalkan pemisah kuasa
Menerusi kenyataan Pengarah Komunikasi MPN KEADILAN Kedah, Tunku Nashrul Abaidah menyatakan, tindakan pentadbiran Sanusi berhubung perkara itu telah dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah kerana Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
“Hakikatnya, Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan. Tindakan pentadbiran pimpinannya dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” ujarnya.
Sanusi usah baling batu sembunyi tangan
Tunku Nashrul turut mendakwa terdapat perbezaan pendirian ketika PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, khususnya berkaitan jumlah cabutan khas judi.
“Sanusi usah baling batu sembunyi tangan. Sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu ini jelas mencerminkan kemunafikan politik. Realitinya, ketika PAS berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Dato’ Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang meurunakannya kembali kepada lapan kali setahun,” katanya.

Beliau turut menyelar tindakan yang didakwa cuba mengaitkan Perdana Menteri dengan keputusan mahkamah berkenaan.
“Tindakan paling celaka adalah mengelirukan rakyat, memaki Dato’ Seri Anwar dan mengheret pihak yang tiada kena-mengena semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri. Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,”

Sumber: Facebook Parti Keadilan Rakyat





