
ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor diminta tidak menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sasaran untuk menutup kegagalan dan kelemahan sendiri susulan isu lesen premis perjudian di negeri itu.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Kedah, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Muhammad Sanusi sebaliknya perlu menjawab kekalahan pentadbiran sendiri berhubung isu tersebut secara berfakta.
“Saya mengecam kenyataan biadab Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menghamburkan makian terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkait isu lesen premis perjudian di negeri ini.
“Hakikatnya, Sanusi selaku Menteri Besar yang menerajui keputusan tersebut telah kalah dalam tindakan undang-undang berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, tindakan pentadbiran pimpinan Menteri Besar itu dibatalkan selepas mahkamah mendapati ia melangkaui bidang kuasa negeri, manakala permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu turut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman. Kes ini berpunca daripada keputusan pentadbiran Sanusi, dicabar oleh pihak pengendali dan diputuskan secara bebas oleh badan kehakiman. Perdana Menteri tidak terlibat dalam menentukan keputusan mahkamah,” ujarnya.
Justeru, beliau meminta Muhammad Sanusi supaya tidak baling batu sembunyi tangan kerana sikap bermuka-muka dan berpura-pura suci dalam isu itu jelas mencerminkan kemunafikan politik.
“Realitinya, ketika Pas berada dalam Kerajaan Perikatan Nasional, pentadbiran yang disertai partinya meningkatkan cabutan khas judi daripada lapan kepada 22 kali setahun.
“Sebaliknya, Datuk Seri Anwar sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang dihamun oleh Sanusi itulah yang menurunkannya kembali kepada lapan kali setahun,” jelasnya.
Tambahnya, tindakan mengelirukan rakyat, melemparkan kecaman terhadap Perdana Menteri dan mengheret pihak yang tidak berkaitan dilihat sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran sendiri.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” katanya.
Muhammad Sanusi membuat kenyataan berkaitan isu lesen premis perjudian tersebut pada sesi Penjelasan Isu Halangan Pengharaman Judi di Kedah di Dewan Mentaloon, di sini malam kelmarin. – KOSMO! ONLINE
The post Sanusi jangan salahkan PM, jawab secara berfakta appeared first on Kosmo Digital.





