
KUALA LUMPUR – Keputusan pantas kru Malaysia Airlines membatalkan proses berlepas penerbangan MH89 di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun pagi tadi dipuji pengguna media sosial selepas sebuah enjin pesawat dilaporkan mengeluarkan asap hitam.
Penerbangan menggunakan pesawat Airbus A330-300 itu dilaporkan sedang melakukan larian berlepas kira-kira jam 10.40 pagi sebelum kejadian berlaku pada enjin sebelah kiri.
Pengguna Threads, @Mfahadnaimb, yang mendakwa berada di lokasi, berkata tindakan segera kru membatalkan proses berlepas berjaya memastikan lebih 160 penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat.
“Pesawat mula melakukan larian berlepas sebelum enjin kiri secara tiba-tiba mengeluarkan asap hitam dari bahagian belakang. Kru kemudian segera membatalkan proses berlepas.
“Terdapat lebih 160 individu di dalam pesawat dan tiada sesiapa dilaporkan cedera,” katanya.
Menurutnya, landasan A kemudian ditutup selama beberapa jam bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan, selain kerja-kerja mengutip serpihan yang dipercayai berasal daripada pesawat berkenaan.
Katanya, jentera bomba turut dikerahkan ke lokasi sebelum pesawat ditunda keluar dari kawasan berkenaan, manakala operasi penerbangan di landasan B dilaporkan berjalan seperti biasa.
Beliau turut mengaitkan kejadian itu dengan kemungkinan berlakunya compressor surge, iaitu keadaan apabila aliran udara dalam bahagian pemampat enjin terganggu dan menyebabkan tekanan tidak dapat dikekalkan.
“Apabila pemampat tidak dapat mengekalkan tekanan, aliran udara boleh berbalik seketika sehingga menghasilkan letupan.
“Ketika larian berlepas, antara punca yang lazim dikaitkan dengan keadaan seperti ini ialah objek asing atau burung yang boleh mengganggu aliran udara sehingga mencetuskan surge,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @Madnoor7, menyifatkan tindakan kru penerbangan sebagai contoh kecekapan dalam menangani situasi kecemasan ketika pesawat berada pada fasa kritikal untuk berlepas.
“Kru melakukan tugas yang sangat baik. Pesawat dapat dilihat membelok ke kiri akibat tujahan tidak simetri antara enjin yang beroperasi normal dengan enjin bermasalah, namun keadaan itu segera dikawal.
“Pada peringkat awal berlepas, arah pesawat sukar dikawal apabila berlaku tujahan tidak simetri. Kejadian ini menunjukkan betapa pentingnya tindakan kru dalam menangani kegagalan sistem,” katanya.
Kejadian berkenaan turut mencetuskan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial yang memuji keputusan menghentikan proses berlepas berbanding meneruskan penerbangan ketika terdapat petunjuk masalah pada enjin.
Bagaimanapun, punca sebenar insiden, tahap kerosakan enjin serta status penerbangan MH89 masih belum disahkan secara rasmi oleh pihak berkuasa atau Malaysia Airlines setakat ini.
The post Kru MAS dipuji batalkan penerbangan MH89 lepas enjin keluar asap hitam appeared first on MYBERITA.

![[VIDEO] Enjin MH89 keluar asap hitam, juruterbang batalkan penerbangan](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-20-at-6.31.55-PM-1024x576.jpeg)



