KTC ‘belanja’ 50 kanak-kanak di Kudat beli baju raya

6 Mar 2025 • 4:32 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Patimang Abdul Ghani

KUDAT: Seramai 50 kanak-kanak di daerah ini dibawa membeli pakaian dan kasut raya bernilai RM200 setiap seorang dalam satu program oleh Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPMM) Negeri Sabah.

Daerah ini jadi stesen pertama di bawah program ‘Shopping Raya’ sempena Jelajah Iftar 2025 itu yang akan menyantuni 850 kanak-kanak di seluruh negeri sepanjang Ramadan.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, program tersebut sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat bagi menyantuni golongan yang memerlukan khususnya menjelang perayaan.

Beliau berharap inisiatif itu dapat membawa keriangan kepada kanak-kanak selain meringankan beban keluarga mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

Program turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Kapor Datuk Chong Chen Bin @ Ben Chong, Pengarah UPPM Negeri Datuk Awang Kadin Tang, Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Darau Datuk Aziah Atoh dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tanjong Kapor, Norlizah Gurahman.

Terdahulu, Ben dalam ucapannya menghargai usaha KTC dan UPPM yang memberi ruang dan peluang berbuka puasa bersama dan menyantuni golongan anak-anak yatim, warga emas, asnaf dan ibu tunggal di daerah ini.

Majlis itu, katanya, sangat bermakna kerana menggambarkan manifestasi semua bagi menyantuni mereka yang kurang bernasib baik selaras dengan nilai ihsan di bawah agenda Sabah Maju Jaya.