KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk ETS, ERT tahun depan

29 Oct 2026 • 12:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk ETS, ERT tahun depan

PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan sebanyak 1.57 juta tempat duduk bagi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) untuk tempoh Januari hingga Mac tahun depan.

KTMB dalam kenyataan berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 39 peratus berbanding tempoh sama tahun ini.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,520,592 tempat duduk diperuntukkan bagi perkhidmatan ETS, manakala 53,280 tempat duduk bagi ERT.

“Peningkatan kapasiti ini mencerminkan usaha berterusan KTMB dalam menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan bagi memenuhi keperluan pengguna perkhidmatan rel,” jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, jualan tiket bagi perjalanan Januari hingga Februari 2027 akan dibuka secara berperingkat mulai 2 November ini, pukul 12 tengah hari melibatkan sebanyak 1,035,384 tempat duduk.

Sementara itu, tiket bagi perjalanan Mac 2027 akan mula dijual pada 1 Disember depan dengan penawaran sebanyak 538,488 tempat duduk.

KTMB berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha syarikat itu untuk menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan kepada penumpang bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan rel.

“Seiring dengan peningkatan kekerapan perkhidmatan dan peluasan pilihan akses, jumlah penumpang ETS diunjurkan meningkat sebanyak 6.5 peratus kepada 6.28 juta orang pada 2027, berbanding unjuran 5.9 juta orang pada 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk ETS, ERT tahun depan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved