Tiket ETS 2027 mula dijual 2 November, KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk

29 Oct 2026 • 11:18 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tiket ETS 2027 mula dijual 2 November, KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk Image from: Tiket ETS 2027 mula dijual 2 November, KTMB tawar 1.57 juta tempat duduk sarah29/10/2026 - 11:18 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan membuka jualan tiket ETS dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) mulai 2 November 2026, dengan menawarkan 1.57 juta tempat duduk bagi perjalanan Januari hingga Mac 2027, meningkat 39% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Menurut kenyataan KTMB, sebanyak 1,573,872 tempat duduk disediakan bagi perjalanan Januari hingga Mac 2027, berbanding 1,131,500 tempat duduk dalam tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menjadi penawaran tertinggi bagi tempoh tiga bulan pertama tahun berkenaan.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 1,520,592 tempat duduk diperuntukkan untuk ETS, manakala baki 53,280 tempat duduk bagi ERT, dengan jualan tiket dibuka secara berperingkat mulai jam 12 tengah hari.

 

Bagi perjalanan Januari hingga Februari 2027, sebanyak 1,035,384 tempat duduk akan mula dijual pada 2 November ini, sementara 538,488 tempat duduk bagi perjalanan Mac 2027 dibuka untuk tempahan pada 1 Disember 2026.

 

ETS tambah perjalanan, Subang Jaya jadi hab baharu

KTMB turut merancang meningkatkan kekerapan ETS daripada 44 perkhidmatan sehari pada 2026 kepada 50 perkhidmatan sehari bagi Isnin hingga Khamis dan 58 perkhidmatan sehari bagi Jumaat hingga Ahad pada 2027.

 

Laluan JB Sentral–KL Sentral–JB Sentral akan menyaksikan pertambahan daripada lapan kepada 12 perkhidmatan sehari, manakala Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan bagi memperluas akses penumpang serta mengurangkan tumpuan di KL Sentral.

 

Seiring peningkatan kapasiti itu, KTMB mengunjurkan jumlah penumpang ETS meningkat 6.5% kepada 6.28 juta orang pada 2027 berbanding unjuran 5.9 juta orang pada 2026.

 

Bagaimanapun, mulai 1 Januari 2027, perjalanan ETS dari JB Sentral ke Butterworth dan Padang Besar serta perjalanan sebaliknya, termasuk laluan Butterworth–Segamat, tidak lagi menggunakan tren yang sama sepanjang perjalanan dan memerlukan penumpang bertukar tren di KL Sentral.

 

Buat masa ini, penumpang bagi perjalanan jarak jauh tersebut perlu membeli tiket melalui dua transaksi berasingan, namun KTMB sedang menambah baik sistem tempahan bagi membolehkan pembelian bersepadu dalam satu transaksi mulai Disember 2026.

 

KTMB menasihatkan penumpang menyemak jadual perjalanan dan menyediakan masa pertukaran tren yang mencukupi di KL Sentral, selain mendapatkan tiket lebih awal melalui aplikasi KITS Style atau laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved