
PETALING JAYA: Jualan tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan Ekspres Rakyat Timuran (ERT) bagi perjalanan Januari hingga Mac 2027 dibuka secara berperingkat mulai 2 November ini, dengan 1.57 juta tempat duduk ditawarkan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
KTMB dalam kenyataan berkata, sebanyak 1,573,872 tempat duduk disediakan, merangkumi 1,520,592 bagi ETS dan 53,280 bagi ERT, meningkat 39 peratus berbanding 1,131,500 tempat duduk bagi tempoh sama tahun ini.
Jualan tiket akan dibuka pada pukul 12 tengah hari, dengan 1,035,384 tempat duduk bagi perjalanan Januari dan Februari mula dijual pada 2 November, manakala baki 538,488 tempat duduk bagi Mac dibuka pada 1 Disember ini.
Penawaran itu merupakan yang tertinggi pernah disediakan KTMB bagi tempoh tiga bulan pertama tahun berkenaan, bagi memenuhi permintaan perjalanan khususnya ketika cuti sekolah, cuti umum dan musim perayaan.
Seiring peningkatan permintaan, KTMB akan menambah kekerapan perkhidmatan ETS daripada 44 perkhidmatan berjadual sehari pada 2026 kepada 50 perkhidmatan sehari dari Isnin hingga Khamis dan 58 perkhidmatan sehari dari Jumaat hingga Ahad pada 2027.
“Laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral turut menyaksikan peningkatan kekerapan daripada lapan kepada 12 perkhidmatan berjadual sehari.
“Selain itu, Stesen Kuala Lumpur Lama dan Stesen Subang Jaya akan diperkenalkan sebagai hab tambahan ETS bagi meluaskan akses penumpang serta mengurangkan tumpuan di KL SentraL,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, mulai 1 Januari 2027, KTMB akan menyusun semula jadual ETS jarak jauh membabitkan perjalanan antara sektor utara dan selatan, termasuk laluan JB Sentral-Butterworth, JB Sentral-Padang Besar serta Butterworth-Segamat dan laluan sebaliknya.
Susulan perubahan itu, penumpang bagi laluan berkenaan perlu menukar tren di KL Sentral kerana perjalanan terus menggunakan tren yang sama tidak lagi ditawarkan.
KTMB berkata, pembelian tiket bagi perjalanan yang memerlukan pertukaran tren itu ketika ini perlu dibuat melalui dua transaksi berasingan.
Bagaimanapun, penambahbaikan sistem tempahan sedang dilaksanakan bagi membolehkan pembelian tiket secara bersepadu melalui satu transaksi mulai Disember ini.
Jumlah penumpang ETS diunjurkan meningkat 6.5 peratus kepada 6.28 juta orang pada 2027, berbanding unjuran 5.9 juta orang tahun ini. – UTUSAN
The post Jualan tiket ETS, ERT mulai 2 November appeared first on Utusan Malaysia.






