Kuala Lumpur bakal bertukar menjadi litar Jalanan MotoGP

26 Nov 2025 • 2:44 PM MYT
TW Media
TW Media

Gedung Info Permotoran

image is not available

Perasmian MotoGP 2026 bakal mencipta sejarah baharu apabila Dorna Sports memilih Kuala Lumpur sebagai pentas global bagi melancarkan musim baharu, namun ianya bakal dianjurkan bukan di litar, tetapi di tengah-tengah kota metropolitan Malaysia. Pada 6 dan 7 Februari nanti, jantung KL akan bertukar menjadi “mini paddock” dengan pembinaan litar sementara sepanjang hampir 1.5 km di hadapan mercu tanda ikonik, Menara Berkembar Petronas.

Buat pertama kalinya, jentera MotoGP bukan sekadar dipamerkan tetapi akan mengaum di jalan raya bandar, melalui laluan lurus 400 meter, ruang pameran, grandstand serta kawasan pit yang dibina khas di tengah bandar. Walaupun MotoGP tidak dapat menganjurkan perlumbaan sebenar di dalam bandar seperti F1, acara ini menjadi medan ujian berskala penuh untuk menilai potensi Grand Prix urban pada masa hadapan, sesuatu yang Carmelo Ezpeleta sendiri tidak menolak jika aspek keselamatan benar-benar terjamin.

Di bawah pengaruh Liberty Media, hala tuju baharu MotoGP semakin jelas iaitu lebih besar, lebih berani, lebih dekat dengan peminat. Festival dua hari ini turut akan disempurnakan dengan konsert, menandakan perubahan wajah MotoGP daripada sukan tradisional kepada hiburan global. Kuala Lumpur hanyalah permulaan, dan apa yang bakal hadir selepas ini mungkin akan mengubah landskap MotoGP selama-lamanya.

Nota : Lakaran laluan litar adalah imaginasi TW Media, berdasarkan maklumat-maklumat yang diterima.

Teruskan bersama Two Wheels..!