
KUALA TERENGGANU – Tiga daerah di Terengganu kembali mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat semalam dengan Kuala Terengganu merekodkan bacaan tertinggi iaitu 157.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, Kemaman dan Dungun turut merekodkan bacaan tidak sihat berdasarkan pemantauan sehingga pukul 8 pagi tadi.
Beliau berkata, bacaan di Besut pula berada pada tahap sederhana iaitu 96.
“IPU Kuala Terengganu dan Kemaman mula menunjukkan tahap tidak sihat sejak pagi semalam sebelum mula meningkat melebihi 150 sekitar pukul 6 petang.
“Bagi Dungun pula, bacaan mula mencapai tahap tidak sihat sejak malam tadi,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Hamzah menasihatkan orang ramai terutama tiga daerah terjejas agar mengurangkan aktiviti di kawasan terbuka.
Beliau berkata, langkah berjaga-jaga perlu diberi keutamaan terhadap golongan berisiko termasuk kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai masalah pernafasan.
Tinjauan Kosmo! di sekitar bandar raya ini hari ini jarak penglihatan agak terhad disebabkan jerebu sehingga menjejaskan pemandanhan mer tanda ikonik, Jambatan Angkat Kuala Terengganu. – KOSMO! ONLINE
The post Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun kembali diselubungi jerebu appeared first on Kosmo Online.






