Kualiti udara di Shah Alam tidak sihat, IPU cecah 152

LocalEnvironment
19 Sep 2026 • 4:23 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Kualiti udara di Shah Alam tidak sihat, IPU cecah 152

SHAH ALAM, 19 SEPT: Kualiti udara di Shah Alam berada pada paras tidak sihat setakat jam 4 petang ini apabila Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 152.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Shah Alam antara 17 lokasi di seluruh negara yang mencatat tahap udara tidak sihat berdasarkan pemantauan semasa.

Serian di Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 178, diikuti Kuching (171), Sri Aman (168) dan Samarahan (164).

Di Semenanjung, Seri Manjung, Perak mencatat IPU 159, manakala Larkin dan Pasir Gudang di Johor masing-masing merekodkan 158 dan 155.

Cheras di Kuala Lumpur pula berada pada bacaan 149, sementara Batu Muda dan Putrajaya masing-masing mencatat IPU 121.

Turut merekodkan tahap tidak sihat ialah Nilai, Negeri Sembilan dengan bacaan 111; Bukit Rambai, Melaka (108); Bintulu, Sarawak (106) serta Tangkak, Johor (102).

Secara keseluruhan, 38 kawasan mencatat tahap sederhana manakala 12 kawasan berada pada kategori baik.

Mengikut kategori IPU, bacaan antara 0 hingga 50 diklasifikasikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 menunjukkan tahap tidak sihat.

Terdahulu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan akan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya hari ini dan esok bagi mengurangkan kesan jerebu serta memperbaiki kualiti udara di kawasan terjejas.

Ketua Pengarah NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata operasi itu dilaksanakan berikutan bacaan IPU bagi parameter PM2.5 di kawasan terlibat melebihi 150 selama lebih 24 jam berdasarkan bacaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menggunakan pesawat C-130 Hercules milik TUDM sebagai aset utama.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved