
PETALING JAYA – Keadaan jenazah tiga beranak yang terbabit dalam kemalangan maut mengundang rasa sebak dalam kalangan orang ramai selepas dikatakan masih sempurna meskipun kenderaan dinaiki mereka mengalami kerosakan teruk.
Perkara itu dikongsikan seorang pengguna Threads, fatihahkichee, yang memaklumkan keadaan jenazah berdasarkan cerita daripada ibu saudara salah seorang mangsa.
“Ramai tertanya-tanya keadaan jenazah kan sebab tengok kereta macam tu. Subhanallah, kuasa Allah. Seperti yang diceritakan oleh mak cik arwah, jenazah sempurna. Tak macam yang disebut-sebut netizen,” tulisnya.
Menurutnya, jenazah ketiga-tiga mangsa turut disifatkan seolah-olah mendapat perlindungan Allah, selain menerima kehadiran orang ramai yang memenuhi saf ketika solat jenazah.
“Lautan manusia hadir untuk solat jenazah. Ramai sangat, Masya-Allah. Punya ramai yang datang solat jenazah sampai tak muat saf. Kematian yang dicemburui. Apa agaknya amalan arwah,” katanya.
Perkongsian itu turut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mendoakan agar ketiga-tiga mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan golongan solihin.
“Cemburunya… pergi terus satu keluarga supaya tidak ada yang tinggal menahan rindu di sini. Di sana tetap bersama sekeluarga.
“Semoga ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan orang baik yang ramai menyayangi. Semoga keluarga arwah yang ditinggalkan Allah berikan kekuatan. Pengakhiran yang indah,” kata kobe.na101.
“Allahuakbar, Allah Maha Baik. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan solihin. Aunty, arwah mesti orang yang baik kan,” komen mrs_smi239.
“Alhamdulillah, memang Allah jaga jasad arwah. Tak boleh baca, rasa sedih sangat,” tulis norsyazwaniidris. –
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, empat maut dalam kejadian kemalangan melibatkan 11 buah kenderaan termasuk bas, lori tangki, trak pikap, kenderaan pelbagai guna, kenderaan utiliti sukan dan kereta di Kilometer 110.4 Lebuh Raya Pantai Timur di Temerloh, semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan melibatkan 11 kenderaan iaitu bas ekspres, lori tangki, Toyota Alphard, Toyota Hilux, Honda CRV, dua buah Proton Saga, dua Perodua Myvi dah sebuah Perodua Aruz. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Kuasa Allah, jenazah mereka sempurna’ appeared first on Kosmo Digital.




