MPV dinaiki enam sekeluarga dihempap pokok tumbang

LocalCars
20 Aug 2026 • 11:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MPV dinaiki enam sekeluarga dihempap pokok tumbang
Keadaan MPV dinaiki keluarga berkenaan dihempap pokok tumbang.

JASIN – Enam sekeluarga yang dalam perjalanan pulang ke rumah berdepan detik cemas apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Kilometer 24, Kampung Air Panas, Jalan Kolam Air Panas, Bemban di sini pada malam Rabu.

Kesemua mereka terdiri daripada empat dewasa dan dua kanak-kanak, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan selepas dibantu orang awam keluar dari kenderaan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.46 malam.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari dengan bantuan BBP Jasin digerakkan ke lokasi sejauh 12 kilometer dan tiba pada jam 9.59 malam.

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di lokasi, didapati berlaku kejadian pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta.

“Mangsa telah selamat dikeluarkan oleh orang awam dan berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, operasi memotong dan membersihkan pokok yang menghempap kenderaan berkenaan selesai dijalankan pada jam 10.27 malam.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.01 malam dan jentera bersama anggota bertolak balik ke balai.

“Tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved