KUALA LUMPUR City FC (KL City) mencipta situasi luar biasa dalam saingan Liga Super apabila turun menentang Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini dengan hanya 10 pemain dalam kesebelasan utama.
Situasi itu berlaku selepas dua pemain yang berada dalam skuad berkenaan disahkan tidak cergas, sekali gus menyebabkan pengendali City Boys, Dollah Salleh terpaksa menurunkan barisan yang serba kekurangan bagi aksi bermula jam 9 malam.
Di posisi penjaga gol, KL City hanya mempunyai Quincy Kammeraad, manakala barisan pertahanan dibarisi lima pemain iaitu Giancarlo Gallifuoco, Syazwan Andik Mohd Ishak, Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, Adam Nor Azlin dan Kamal Azizi Zabri.
Dollah turut menyenaraikan tiga pemain di bahagian tengah, terdiri daripada J. Parthiban, Kenny Pallraj dan Sharvin Selvakumaran, manakala kapten Paulo Josue menjadi satu-satunya pemain yang mengetuai jentera serangan.
Fazrul Amir pula berada di bangku simpanan, sekali gus memberikan sedikit pilihan kepada Dollah sekiranya berlaku kecederaan atau keperluan melakukan perubahan taktikal sepanjang perlawanan.
Sebelum ini, KL City menerima kelulusan khas Malaysian Football League (MFL) untuk mendaftarkan minimum 12 pemain kira-kira tiga jam sebelum sepak mula menentang Kuching City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
**media[3627246]**
Kelulusan itu diberikan selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL meluluskan permohonan rasmi KL City berhubung status pendaftaran pemain susulan usaha kelab menyelesaikan beberapa kes tunggakan membabitkan bekas pemain.
Krisis berkenaan tercetus selepas KL City dikenakan Larangan Pendaftaran Pemain oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), menyebabkan kelab berkenaan tidak dapat mendaftarkan pemain baharu untuk memperkuatkan skuad.
Dalam surat rasmi bertarikh 26 Ogos, KL City memaklumkan sudah menyelesaikan tunggakan bayaran kepada tiga bekas pemain import, namun masih menunggu proses kelulusan FIFA bagi menarik balik perintah larangan perpindahan pemain yang dikenakan terhadap kelab.
Keadaan itu menjadikan aksi menentang Kuching City malam ini antara ujian paling getir buat City Boys, dengan Dollah perlu mengharungi perlawanan menggunakan pilihan pemain yang amat terhad.






