
KUALA LUMPUR – Isu luar padang seakan beri kesan besar buat Kuala Lumpur City yang dibelasah 0-6 oleh Kuching City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Walaupun diberikan kelulusan khas oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang membolehkan The City Boys mendaftarkan minimum 12 pemain, KL City hanya mampu menyenaraikan 11 pemain.
Bagaimanapun, pengendali tuan rumah, Datuk Dollah Salleh ambil keputusan menurunkan 10 pemain dalam senarai skuad utama dan meninggalkan seorang pemain di bangku simpanan.
Kuching City yang memiliki kelebihan seorang pemain hanya memerlukan tiga minit untuk membuka jaringan menerusi Ajdin Mujagic.
Selang tiga minit selepas, gawang KL City bocor buat kali kedua sebaliknya gol Jerome Mpacko Etame itu dibatalkan selepas dikesan berada di kedudukan offsaid.
Memasuki minit ke-25, Etame berjaya tebus kecewa selepas bijak menghidu umpanan ketua pasukan, James Okwuosa.
Di penghujung babak pertama, aksi bertambah menarik apabila perlawanan kembali seimbang selepas Okwuosa dilayangkan kad merah kerana mengasari S. Sharvin.
Walaupun hilang seorang pemain, pelawat dilihat makin berbisa, menyaksikan Etame melengkapkan hatrik apabila menambah dua lagi jaringan dalam tempoh tujuh minit, masing-masing pada minit ke-48 dan 52.
Selang enam minit selepas itu, Mujagic sekali lagi menggegar untuk menghadiahkan gol kelima The Cats.
Etame terus menghukum benteng KL City apabila meledak gol keempat peribadinya pada masa kecederaan.
Sebelum ini, aksi pertama KL City dalam Liga Super musim ini berdepan Negeri Sembilan FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Sabtu lalu dibatalkan saat akhir dan MFL memberikan kemenangan 3-0 kepada skuad Hoben Jang Hoben.
Rentetan itu, KL City FC turut dikenakan denda sebanyak RM50,000 serta dikehendaki membayar semua ganti rugi dan kos berkaitan yang diputuskan oleh MFL. – KOSMO! ONLINE
The post Liga Super: Giliran Kuching City aibkan KL City appeared first on Kosmo Digital.






