
JOHOR BAHRU – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) hanya selangkah lagi untuk mencipta rekod dunia baharu apabila turun menentang Kuching City FC dalam aksi Perlawanan Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), di sini, Jumaat ini.
Pertembungan itu bukan sekadar perebutan Piala Sumbangsih dan aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2026/27, sebaliknya menjadi pentas penting buat Harimau Selatan melakar sejarah baharu bola sepak dunia.
JDT kini menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah yang sebelum ini dipegang ASEC Mimosas dari Ivory Coast, selepas menamatkan kempen Liga Super 2025/26 dengan kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan The Real Warriors pada Mei lalu.
Jika berjaya mengelak kekalahan ketika berdepan Kuching City, JDT akan mencatat 109 perlawanan liga berturut-turut tanpa kalah, sekali gus memecahkan rekod dunia tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia, sebelum ini mengakui pencapaian berkenaan bukan sesuatu yang mudah kerana setiap pasukan lawan mempunyai motivasi tinggi untuk menamatkan rentetan tanpa kalah Harimau Selatan.
Beliau turut menyifatkan rentetan tanpa kalah JDT sejak 2021 sebagai sesuatu yang luar biasa, selain menyuarakan harapan agar pasukan itu mencipta Rekod Dunia pada Jumaat ini.
Misi tersebut hadir selepas JDT sekali lagi mengukuhkan dominasi dalam bola sepak domestik apabila muncul juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, termasuk menamatkan musim 2025/26 tanpa kekalahan.
Lebih menarik, JDT turut mengekalkan kehebatan dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan Kuching City 2-0 pada final musim 2025/26 untuk menjulang trofi berkenaan buat kali keempat berturut-turut.
Justeru, Kuching City bukan lawan asing buat JDT, malah pertemuan Jumaat ini memberikan satu lagi dimensi menarik selepas kedua-dua pasukan bertembung dalam final Piala Malaysia kurang tiga bulan lalu.
Dengan sejarah dan pencapaian itu, JDT pastinya turun dengan satu sasaran utama iaitu memastikan rentetan luar biasa mereka terus hidup, sekali gus mencipta angka baharu dalam buku rekod bola sepak dunia.
Bagi penyokong Harimau Selatan, aksi di SSI Jumaat ini berpotensi menjadi detik bersejarah kerana kemenangan atau keputusan yang memastikan JDT tidak tewas akan menyaksikan mereka bergelar pemegang tunggal rekod dunia baharu bagi rentetan perlawanan liga tanpa kalah. – KOSMO! ONLINE
The post JDT buru pecah rekod dunia appeared first on Kosmo Digital.






