Kulasegaran dikecam, cetus persepsi ‘dua darjat’

LocalPolitics
17 Mar 2026 • 5:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Hilmi berkata, kehadiran Kulasegaran bersama tertuduh bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap prinsip keadilan malah memberi gambaran seolah-olah wujud layanan berbeza dalam pelaksanaan undang-undang.

GEORGE TOWN - Pemuda UMNO Pulau Pinang mengecam tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran yang dilihat mengiringi seorang tertuduh di Mahkamah Majistret Jawi pada pagi Selasa.

Tindakan itu disifatkan mencetuskan persepsi negatif terhadap integriti sistem perundangan negara.

Ketuanya, Mohd Hilmi Elias berkata, kehadiran Kulasegaran bersama tertuduh, Arun Dorasamy bukan sahaja menimbulkan persoalan terhadap prinsip keadilan, malah memberi gambaran seolah-olah wujud layanan berbeza dalam pelaksanaan undang-undang.

Menurutnya, dalam keadaan kebanyakan tertuduh lain dibawa ke mahkamah dengan tangan bergari, tindakan seorang pemimpin kerajaan mengiringi individu yang berdepan pertuduhan adalah tidak wajar dan mencalar imej institusi kehakiman.

“Walaupun penjelasan diberikan bahawa beliau hanya singgah sebentar, hakikatnya persepsi awam tidak boleh dipandang ringan.

“Dalam politik dan pentadbiran, soal persepsi sama penting dengan tindakan, lebih-lebih lagi melibatkan seorang Timbalan Menteri yang sepatutnya mempertahankan prinsip keadilan tanpa prejudis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, tindakan tersebut mencerminkan kegagalan memahami sensitiviti serta tanggungjawab moral yang datang bersama jawatan yang dipegang selain memberi isyarat seolah-olah wujud ‘dua darjat’ dalam sistem perundangan negara.

Sehubungan itu, Mohd Hilmi mendesak Kulasegaran tampil memberikan penjelasan lebih tuntas kepada rakyat selain mempertimbangkan kedudukannya dalam kerajaan.

“Individu yang gagal menjaga integriti dan persepsi awam tidak seharusnya terus diberi kepercayaan untuk berada dalam saf kepimpinan negara.

“Rakyat sedang memerhati. Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi mesti dilihat dilaksanakan tanpa sebarang keraguan,” katanya.

Terdahulu, Kulasegaran dilihat menemani Arun Dorasamy di Mahkamah Majistret Jawi, Nibong Tebal yang menghadapi pertuduhan membuat kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam pada tahun lalu.

Kulasegaran bagaimanapun tidak memasuki kamar mahkamah, sebaliknya dilihat meninggalkan kompleks mahkamah sejurus Arun dan barisan peguamnya memasuki kamar mahkamah.