Kuliah Maghrib terakhir, Ustaz Hamdi maut kereta terbabas dalam sungai

26 Nov 2026 • 4:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kuliah Maghrib terakhir, Ustaz Hamdi maut kereta terbabas dalam sungai
Anggota bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat Ustaz Hamdi (gambar kecil) yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan di dalam sungai berhampiran Ladang Mados, Segamat. - Foto JBPM Johor
Image from: Kuliah Maghrib terakhir, Ustaz Hamdi maut kereta terbabas dalam sungai
Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan - Foto JBPM

SEGAMAT – Seorang guru takmir daerah Segamat yang dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah sejurus selesai menyampaikan kuliah Maghrib malam Rabu ditemukan meninggal dunia apabila kereta yang dipandunya terbabas ke dalam sungai berhampiran Ladang Mados di sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Perodua Axia yang dipandu mangsa, Ustaz Hamdi Abdul Razab, 34, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam Sungai Anak Sungai Kapeh.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan luaran, namun dipercayai meninggal dunia akibat lemas di sungai berkenaan," katanya ketika dihubungi.

**media[3723252]**

Terdahulu, kehilangan Allahyarham disedari isterinya yang berusia 28 tahun selepas mangsa masih belum pulang ke rumah dan tidak kelihatan keluar melalui pintu pagar utama ladang berkenaan selepas waktu Isyak.

Beberapa kakitangan ladang turut menjalankan usaha pencarian kerana pada awalnya menyangka mangsa tersesat di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, usaha berkenaan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat serta paras air sungai yang semakin meningkat.

Isteri mangsa kemudian membuat laporan polis pada jam 1 pagi.

Mohd Jumazanzahir meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Adzrull Hisham, menerusi talian 07-9325811 bagi membantu siasatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved