Kumpulan Jetson kemuka tuntutan balas RM1.27 juta terhadap pengasas bersama Teh Kian Ann dalam pertikaian ESOS

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kumpulan Jetson kemuka tuntutan balas RM1.27 juta terhadap pengasas bersama Teh Kian Ann dalam pertikaian ESOS Image from: Kumpulan Jetson kemuka tuntutan balas RM1.27 juta terhadap pengasas bersama Teh Kian Ann dalam pertikaian ESOS johardy18/08/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kumpulan Jetson Berhad mengemukakan tuntutan balas RM1.27 juta terhadap pengasas bersamanya, Datuk Teh Kian Ann, selepas menolak tuntutan beliau bahawa syarikat itu masih berhutang RM891,847 daripada pembayaran yang dibuat bagi menyertai skim opsyen saham pekerja (ESOS).

 

Pertikaian undang-undang itu merupakan perkembangan terbaharu berkaitan ESOS Kumpulan Jetson, kurang tiga minggu selepas semakan forensik bebas menemukan ketidakaturan dalam pelaksanaan skim berkenaan serta pembayaran tertentu yang dibuat oleh syarikat.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Kumpulan Jetson berkata, Teh yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif syarikat mendakwa dalam samannya bahawa beliau menyertai ESOS sebagai pekerja syarikat.

 

Teh mendakwa beliau menyertai ESOS pada Jun 2025 dan membayar sejumlah RM2.16 juta kepada syarikat.

 

Beliau mendakwa Kumpulan Jetson kemudiannya membatalkan ESOS tanpa memperuntukkan sebarang saham kepadanya dan kemudian memulangkan RM1.27 juta menerusi tiga pembayaran antara Ogos hingga September 2025.

 

Teh seterusnya mendakwa syarikat masih berhutang RM891,847.36 kepadanya dan menuntut pembayaran balik jumlah itu berserta faedah, kos guaman serta apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah Sesyen.

 

Kumpulan Jetson tolak tuntutan Teh

Bagaimanapun, Kumpulan Jetson menolak sepenuhnya tuntutan Teh. Syarikat itu berkata, Teh bukan pekerja pada masa yang berkaitan dan beliau tidak menyertai serta tidak layak menyertai ESOS pada Jun 2025.

 

“Selanjutnya, syarikat berpendirian bahawa plaintif tidak berhak menerima sejumlah RM1,269,789 yang dibayar oleh syarikat kepada plaintif (Teh) dan pembayaran tersebut adalah tidak sah serta dibuat tanpa balasan di sisi undang-undang,” kata syarikat itu.

 

Dalam tuntutan balasnya, syarikat menuntut supaya keseluruhan RM1.27 juta itu dikembalikan kepada syarikat berserta faedah 5% setahun dari tarikh tuntutan balas sehingga pembayaran penuh dibuat.

 

Kumpulan Jetson turut memohon deklarasi bahawa Teh tidak layak menyertai ESOS dan RM1.27 juta yang dipindahkan kepadanya kekal sebagai dana milik syarikat.

 

“Saman remeh yang dibawa oleh plaintif akan ditangani selanjutnya menerusi tindakan berkaitan yang akan diambil oleh syarikat susulan penemuan laporan forensik berhubung perkara ESOS, seperti diumumkan pada 31 Julai 2026,” katanya.

 

Semakan forensik kesan ketidakaturan

Pada 31 Julai lalu, semakan forensik bebas oleh BDO Governance Advisory Sdn Bhd mengenal pasti ketidakaturan dalam transaksi dan proses yang dilaksanakan pada dan sekitar Jun 2025.

 

Syarikat berkata, semakan itu mendapati pembayaran tertentu yang dipertikaikan dibuat tanpa dokumentasi sokongan yang mencukupi, justifikasi komersial atau kelulusan sewajarnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Audit forensik dedah transaksi tanpa kelulusan dan ESOS langgar peraturan di Jetson

 

Semakan berkenaan turut mendapati ESOS tidak dilaksanakan mengikut undang-undang kecilnya dan tidak mempunyai pengawasan mencukupi daripada jawatankuasa ESOS syarikat.

 

Pada ketika itu, Kumpulan Jetson tidak memberikan butiran mengenai pembayaran yang dipertikaikan atau mengenal pasti pihak yang terbabit.

 

Pemakluman terbaharu itu tidak menyatakan secara jelas sama ada RM1.27 juta yang dibayar kepada Teh merupakan antara pembayaran dipertikaikan yang dikenal pasti BDO.

 

Bagaimanapun, pemakluman tersebut mengaitkan secara langsung saman berkenaan dengan perkara ESOS yang sama dan menyatakan tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan penemuan laporan forensik.

 

ESOS sehingga 15% daripada asas saham

Sebagai rekod, skim ESOS itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan korporat lebih luas yang diumumkan Kumpulan Jetson sebelum ini dan membolehkan opsyen meliputi sehingga 15% daripada asas saham syarikat.

 

Ketika pertikaian pemegang saham memuncak pada 2025, syarikat mengambil langkah menerbitkan kira-kira 60.4 juta saham di bawah ESOS dengan kira-kira 40.63 juta saham atau 67% daripada cadangan terbitan diperuntukkan kepada seorang pengarah eksekutif.

 

Pelaksanaan itu kemudiannya dihentikan ketika satu lagi usaha dilakukan oleh pemegang saham untuk menyingkirkan Lembaga Pengarah.

 

Kumpulan Jetson mengalami perubahan besar dalam Lembaga Pengarah pada September 2025 apabila lima pengarah bukan eksekutif — Wong Hong Yuk, Teoh Cheng Fang, Ilham Abadi Idris, Looi Mun Fei dan Ranjit Singh Kartar Singh — menyertai Lembaga Pengarah.

 

Teh bersara daripada Lembaga Pengarah pada 11 September 2025, tidak lama selepas perubahan tersebut. Berdasarkan pendedahan Kumpulan Jetson pada 31 Julai, beliau masih memegang 4.48% kepentingan langsung dan 5.60% kepentingan tidak langsung dalam syarikat.

 

Saham Kumpulan Jetson ditutup tidak berubah pada lapan sen pada Isnin, memberikan syarikat itu permodalan pasaran RM33.35 juta. Sejak awal tahun, harga sahamnya telah susut lebih 33%. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved