
Apabila kerajaan mengumumkan had kelayakan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dikembalikan semula kepada 300 liter sebulan, mengapa masih ada suara-suara keras kedengaran mempertikai.
Apakah mempertikai itu wajar jika manfaat inisiatif kembali kepada lebih 16 juta pengguna RON95 bersubsidi? Lebih penting, bukankah perlindungan terhadap rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup memang tujuan utama BUDI95 diwujudkan?
Bagi sebahagian besar rakyat, petrol bukan kemewahan. Ia keperluan untuk pergi bekerja, menghantar anak ke sekolah, berulang-alik dari kawasan luar bandar ke bandar, berniaga kecil-kecilan dan mengurus kehidupan seharian.
Apabila harga barangan meningkat dan kos perjalanan bertambah, setiap liter petrol dijimatkan mempunyai nilai kepada isi rumah.
Justeru, keputusan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengembalikan kuota asas BUDI95 kepada 300 liter sebulan bukan sekadar pengumuman mengenai angka. Ia membawa satu mesej politik dan sosial lebih besar bahawa kerajaan mendengar keluhan rakyat.
Jika diimbas 1 April lalu, kerajaan mengambil keputusan sementara mengurangkan had kelayakan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan susulan konflik di Asia Barat yang mencetuskan ketidaktentuan bekalan dan peningkatan harga minyak global.
Ketika itu, kerajaan berdepan peningkatan mendadak bil subsidi bahan api yang dianggar mencecah RM4 bilion sebulan, ketika harga minyak mentah menghampiri AS$100 setong.
Maka, pengurangan kuota ketika itu mempunyai rasionalnya. Ia bukan semata-mata mengurangkan hak rakyat, sebaliknya langkah sementara untuk mengurus tekanan fiskal dan memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin.
Kerajaan sendiri menjelaskan hampir 90 peratus pengguna yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 100 liter.
Apabila keadaan berubah, dasar juga perlu berubah. Di sini letaknya nilai penting keputusan mengembalikan kuota kepada 300 liter. Maksudnya, kerajaan tidak terikat keputusan terdahulu hanya kerana ia pernah dibuat.
Apabila pengurusan bekalan semakin tersusun, penguatkuasaan diperkukuh, ekonomi menunjukkan prestasi lebih baik dan kemampuan kewangan mengizinkan, kerajaan mempunyai ruang untuk menyemak semula dasar berkenaan.
Kementerian Kewangan (MOF) secara jelas menyatakan semua faktor ini menjadi pertimbangan dalam pengembalian had 300 liter. Ini sebenarnya inti pati sebuah dasar yang responsif.
Kerajaan yang mendengar rakyat bukan kerajaan yang semestinya tunduk kepada setiap tuntutan. Sebaliknya, kerajaan yang bertanggungjawab ialah kerajaan yang mampu menilai tuntutan rakyat, menimbang kemampuan negara dan kemudian membuat keputusan berdasarkan keadaan sebenar.
Dalam konteks BUDI95, keputusan mengembalikan 100 liter tambahan itu mempunyai makna besar kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana yang paling merasai kesan kenaikan kos pengangkutan.
Bagi mereka, tambahan kuota bukan sekadar angka dalam sistem, ia boleh diterjemahkan kepada penjimatan sebenar dalam perbelanjaan bulanan.
Di sinilah kritikan terhadap keputusan kerajaan perlu diletakkan dalam perspektif yang betul.
Sudah tentu persoalan mengenai kemampuan fiskal kerajaan adalah sah. Subsidi tetap menggunakan wang rakyat dan kerajaan tidak boleh berbelanja tanpa batas. Namun, kritikan juga perlu menjawab satu persoalan asas.
Jika kerajaan mempunyai kemampuan untuk mengembalikan kuota dan pada masa sama masih mengekalkan mekanisme penyasaran, mengapa rakyat yang layak perlu dinafikan manfaat itu?
Harga RON95 melalui BUDI95 masih kekal RM1.99 seliter. Pada awal September, harga RON95 tanpa subsidi ialah RM3.77 seliter, menjadikan perbezaan RM1.78 bagi setiap liter ditanggung melalui subsidi kerajaan.
Maksudnya, kerajaan masih mengambil beban kewangan besar untuk melindungi pengguna yang layak. Namun, perlindungan rakyat tidak seharusnya diterjemahkan sebagai kembali kepada subsidi pukal. Di sinilah prinsip asal BUDI95 perlu terus dipertahankan.
Subsidi Bersasar Perkemas Kelemahan Sistem Sedia Ada
Subsidi bersasar diwujudkan kerana sistem lama mempunyai kelemahan. Apabila subsidi diberikan secara pukal, manfaatnya boleh turut dinikmati oleh pihak yang tidak sepatutnya.
Ini termasuk mereka yang tidak layak, penggunaan oleh kenderaan atau individu yang tidak sepatutnya menikmati subsidi, malah golongan berkemampuan tinggi yang tidak memerlukan tahap bantuan yang sama seperti kelompok berpendapatan rendah dan sederhana.
Lebih membimbangkan ketirisan kepada warga asing dan penyalahgunaan bahan api bersubsidi. Setiap liter yang bocor bermakna wang rakyat yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat Malaysia hilang daripada sasaran asal.
Justeru, mengembalikan kuota kepada 300 liter tidak bermaksud kerajaan kembali kepada pendekatan subsidi tanpa kawalan.
Sebaliknya, ia boleh menjadi ujian kepada keberkesanan BUDI95 itu sendiri, apakah kerajaan mampu memberikan lebih banyak ruang kepada rakyat yang layak, sambil memastikan mereka yang tidak layak tidak mengambil kesempatan?
Jawapannya mesti terletak pada penguatkuasaan, penggunaan data dan sistem pengesahan yang lebih cekap. Prinsipnya mudah, rakyat yang layak dilindungi, tetapi pihak yang cuba menyeleweng subsidi tidak boleh diberi ruang.
Jika kerajaan mengembalikan kuota tetapi gagal mengawal ketirisan, kritikan memang wajar. Jika kerajaan menambah kuota, tetapi membiarkan pihak tidak layak terus menikmati subsidi, persoalan terhadap keberkesanan dasar juga munasabah.
Namun jika kuota ditambah berdasarkan kemampuan kewangan semasa, bekalan terkawal, penguatkuasaan diperkukuh dan manfaat disalurkan kepada lebih 16 juta pengguna yang layak, maka keputusan itu tidak seharusnya dilihat sebagai pembaziran secara automatik.
Lebih menarik, keputusan ini membuktikan bahawa subsidi bersasar tidak semestinya bermaksud kerajaan hanya tahu mengurangkan bantuan.
Subsidi bersasar sepatutnya bersifat dinamik. Apabila negara berdepan krisis, kerajaan boleh mengetatkan siling. Apabila keadaan mengizinkan dan ruang fiskal tersedia, manfaat boleh dikembalikan kepada rakyat. Itulah keseimbangan yang sukar dicapai.
Apa pun, pengembalian kuota kepada 300 liter memberi kelegaan. Namun pada masa sama, ia meningkatkan tanggungjawab kerajaan untuk memastikan tiada ruang baharu kepada ketirisan.
Maka, keputusan ini wajar dinilai bukan semata-mata dari sudut berapa banyak subsidi yang bertambah, tetapi dari sudut siapa yang mendapat manfaat, siapa yang sebelum ini terlepas daripada sasaran dan sejauh mana kerajaan mampu memastikan wang rakyat benar-benar kembali kepada rakyat.
Jika itu berjaya dilakukan, maka pengembalian kuota 300 liter bukan langkah berundur dalam reformasi subsidi. Sebaliknya, ia bukti bahawa reformasi boleh berjalan seiring keprihatinan terhadap rakyat.
Tegas terhadap ketirisan, tetapi tidak tuli terhadap keluhan mereka yang sedang berdepan tekanan kos sara hidup. - Getaran, 11 September 2026






