Senyum di pam minyak tetapi poket masih diuji

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 8:30 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Senyum di pam minyak tetapi poket masih diuji

Isi minyak sekarang boleh senyum sikit. Had Budi Madani RON95 (Budi95) kembali kepada 300 liter pada 1 September lalu selepas diturunkan kepada 200 liter.

Tambahan semula 100 liter itu memang melegakan, sekurang-kurangnya ramai yang masih tersenyum selepas isi minyak.

Namun, senyum di stesen minyak belum tentu poket benar-benar lega. Kalau barang dapur, sewa rumah, ansuran terus meningkat, kuasa beli rakyat tetap tertekan.

Di sini, ukuran sebenar Budi95 dan Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober depan akan bertemu. Persoalannya mudah, selepas semua bantuan dan insentif dikira, adakah masih cukup wang untuk rakyat hidup hingga hujung bulan?

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Dr. Saravanan Thambirajah berkata, pengembalian semula had Budi95 kepada 300 liter sememangnya memberi kelegaan, sekali gus memberi sedikit ruang dalam bajet bulanan keluarga.

Namun katanya, ia bukan penyelesaian menyeluruh kepada tekanan kos sara hidup kerana isi rumah masih berdepan peningkatan perbelanjaan makanan, perumahan, utiliti, pendidikan, penjagaan anak dan kesihatan.

“Ukuran yang paling mudah ialah berapa banyak wang yang masih tinggal selepas sebuah keluarga membayar semua keperluan asas setiap bulan.

“Kita tidak boleh melihat kenaikan gaji semata-mata. Kalau gaji naik RM200 tetapi perbelanjaan makanan, rumah, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan meningkat RM300, kuasa beli sebenarnya semakin lemah,” katanya.

Sehubungan itu katanya, ukuran perlu diberikan kepada pendapatan boleh guna sebenar selain mengambil kira kos kehidupan mengikut lokasi dan saiz sesebuah keluarga.

Katanya, bantuan kerajaan penting sebagai jaringan keselamatan terutama kepada golongan berpendapatan rendah dan rentan, namun rakyat memerlukan pekerjaan berkualiti serta pendapatan mencukupi untuk menjalani kehidupan secara munasabah dalam jangka panjang.

“Kerajaan juga perlu melihat keseluruhan rantaian harga. Kalau kos sebenar hanya meningkat sedikit tetapi harga kepada pengguna meningkat terlalu tinggi, perkara itu perlu disiasat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Belanjawan 2027 perlu memperkukuh insentif kepada syarikat yang meningkatkan produktiviti dan memastikan manfaat tersebut dikongsi dengan pekerja melalui peningkatan gaji, selain mengaitkan latihan kemahiran dengan peluang pekerjaan serta pendapatan lebih baik.

“Bagi FOMCA, tiga perkara utama yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 ialah pendapatan dan gaji yang lebih baik, khususnya pekerja sektor swasta, supaya pertumbuhan ekonomi benar-benar dirasai rakyat.

“Kedua, kerajaan perlu mengawal tekanan kos sara hidup meliputi makanan, perumahan, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.

Pada masa sama, pendapatan boleh guna serta kemampuan rakyat untuk menyimpan perlu ditingkatkan, bukan sekadar bergantung kepada bantuan,” jelasnya.

Akhirnya, rakyat sebenarnya tidak meminta kehidupan mewah, cuma mahu kos hidup lebih terkawal, gaji yang sepatutnya dan sedikit ruang bernafas selepas semua bil dilangsaikan.

The post Senyum di pam minyak tetapi poket masih diuji appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved