
KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM1 juta.
Kesemua wang berkenaan didakwa diterima bagi meluluskan kuota pengambilan pekerja asing untuk sebuah syarikat pada 2022.
Saravanan, 58, membuat pengakuan tersebut selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Timbalan Presiden MIC itu didakwa menerima suapan berjumlah RM150,000, RM350,000 dan RM597,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65, menerusi Syed Amirul Syed Ahmad, 38.
Syarikat berkenaan dilaporkan memohon kuota untuk mengambil 1,000 pekerja asing, dengan Saravanan didakwa menerima wang tersebut secara berperingkat antara Jun hingga Julai 2022.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, beliau didakwa menerima wang tunai masing-masing sebanyak RM150,000 dan RM350,000 daripada Tan sebagai dorongan dan balasan untuk meluluskan permohonan kuota pekerja asing bagi TYKB Engineering.
Kesalahan pertama didakwa dilakukan di sebuah kelab golf eksklusif di Bukit Jalil pada 16 Jun 2022, manakala kesalahan kedua didakwa berlaku di Bangsar pada 7 Julai tahun sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Saravanan didakwa menerima cek bernilai RM597,000 daripada Tan menerusi Syed Amirul.
Cek tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic Bhd milik Big Seven Ventures Sdn Bhd.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Klang Lama, Taman Desa, pada 7 Julai 2022.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, Saravanan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Mahkamah kemudian membenarkan Saravanan diikat jamin RM450,000 dengan beberapa syarat tambahan, termasuk perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap tiga bulan.
Beliau turut diperintahkan supaya tidak menghubungi mana-mana saksi, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Mahkamah menetapkan 29 September sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam, Datuk Geethan Ram Vincent.
Saravanan hadir ke mahkamah dengan mengenakan sut berwarna gelap dan ditemani isterinya, Datin Seri Kavitha Vivekanandan, serta Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Galeri awam mahkamah turut dipenuhi penyokongnya, manakala beberapa individu lain yang berkumpul di luar bilik mahkamah tidak dibenarkan masuk kerana ruang terhad.
Kawalan keselamatan di sekitar kompleks mahkamah juga diperketatkan dengan kehadiran anggota polis, selain akses dihadkan kepada individu yang mempunyai urusan rasmi selepas pintu masuk dan keluar utama ditutup.
Semalam, Saravanan dilaporkan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, supaya campur tangan dan menghentikan siasatan SPRM terhadapnya, sambil menegaskan beliau tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan pengambilan pekerja asing ketika menerajui Kementerian Sumber Manusia.
Menerusi surat bertarikh 24 Ogos kepada Anwar, Ahli Parlimen Tapah itu mendakwa, beliau tidak pernah terlibat secara peribadi dalam urusan pengambilan pekerja asing, malah tiada seorang pun ahli keluarganya terbabit dalam perkara tersebut.
Saravanan turut mendakwa, satu memorandum Kabinet bertarikh 13 April 2022 dengan jelas menyatakan bahawa Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan permohonan pengambilan pekerja asing. - Getaran, 28 Ogos 2026






