Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meneliti surat yang dikemukakan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkaitan dakwaan yang mengaitkannya dengan isu pengambilan pekerja asing.

Memetik lapoan Sinar Haraian, menurut Anwar, kandungan surat berkenaan akan dirujuk kepada agensi berkaitan supaya sebarang siasatan serta proses pendakwaan dapat dilaksanakan berdasarkan bidang kuasa masing-masing.
“Daripada sampai ke situ, bukan urusan saya. Saya akan rujuk kepada SPRM atau Jabatan Peguam Negara untuk mereka teliti,” katanya ketika ditemui di pekarangan Masjid Sembilang pada Jumaat.
Anwar sebelum itu tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 1.15 petang untuk menunaikan solat Jumaat. Beliau turut meluangkan masa beramah mesra bersama jemaah yang hadir.
Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kesimpulan awal berhubung perkara berkenaan, sebaliknya memberi ruang kepada proses siasatan dan pendakwaan untuk berjalan sehingga diputuskan mahkamah.
“Kita harus beri ruang untuk keadaan siasatan diteruskan, pendakwaan dan proses serta tidak membuat apa-apa kenyataan kerana belum pasti sehingga diputuskan oleh mahkamah,” jelasnya.

Terdahulu, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah meluahkan rasa kesal terhadap tuduhan tidak berasas oleh SPRM yang mengaitkan beliau dengan proses pengambilan pekerja asing.
Bekas Menteri Sumber Manusia itu menjelaskan bahawa sepanjang memegang jawatan berkenaan, beliau tidak pernah terbabit secara peribadi dalam urusan pengambilan pekerja asing, termasuk membabitkan mana-mana ahli keluarganya.
Artikel lain: Dikaitkan pengambilan pekerja asing? Saravanan nafi salah laku, kesal tuduhan tak berasas SPRM!
Saravanan turut memaklumkan bahawa nota Jemaah Menteri bertarikh 13 April 2022 telah menjelaskan Menteri Sumber Manusia tidak mempunyai kuasa untuk memberikan kelulusan bagi pengambilan pekerja asing.
Sebaliknya, menurut beliau, pusat sehenti khas (OSC) yang melibatkan pelbagai kementerian akan diwujudkan bagi mempercepatkan proses pengambilan pekerja asing.
Sumber: Sinar Harian (Syajararulhuda Mohd Rosli)






