Kurangkan juga perbelanjaan kelas perniagaan

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Keputusan kerajaan untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri melibatkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan adalah tindakan awal yang tepat.

KEPUTUSAN kerajaan untuk tidak menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri melibatkan agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) tahun ini sebagai langkah berjimat susulan ketidaktentuan global dan konflik Asia Barat adalah tindakan awal yang tepat.

Selain itu, tugasan dan kunjungan ahli Kabinet serta jabatan kerajaan ke luar negara juga dikurangkan melainkan ia benar-benar memerlukan dan acara yang wajib dihadiri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan perbelanjaan secara lebih cermat dan sederhana dapat dilakukan ketika dunia berdepan dengan ketidaktentuan akibat konflik.

Langkah ini dianggap sebagai pra persediaan sekiranya konflik Asia Barat berlarutan dengan lebih lama lagi yang semestinya akan meningkatkan kos harga minyak dunia dan kemudiannya akan membuatkan rantaian lain meningkat sama.

Dalam langkah penjimatan ini, kesan yang akan diterima adalah sektor sokongan lain seperti syarikat penerbangan, syarikat katering semestinya akan terkesan untuk tempoh masa ini.

Lebih malang, nasib pekerja bawahan akan terjejas dan mungkin akan hilang mata pencarian sekiranya tiada pelan jangka panjang oleh kerajaan.

Sifirnya mudah, apabila kerajaan tidak mengeluarkan perbelanjaan, bermakna aliran kewangan dalam sistem ekonomi dalam negara akan berkurangan dan kesannya akan dihadapi oleh rakyat secara langsung.

Aktiviti perniagaan akan berkurang dengan sendirinya nanti. Rakyat tidak mempertikaikan usaha yang dilakukan Perdana Menteri ketika ini tetapi Anwar perlu juga mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan lain untuk sektor awam dan GLIC seperti untuk memastikan langkah penjimatan ini benar-benar berjaya.

Langkah terbaik adalah mengurangkan, bukannya tidak membelanjakan secara terus. Misalnya mengurangkan penggunaan penerbangan kelas perniagaan kepada pegawai kerajaan untuk perjalanan kurang lima jam atau penerbangan domestik sahaja kerana perbezaan harga antara dua kelas ini ternyata berbeza.

Dalam masa tertentu juga, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi perjalanan yang secara terus dari satu tempat ke satu tempat tanpa memerlukan kenderaan khas menghantar kakitangan berkenaan.